BEKAS pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal tidak menolak untuk kembali ke bidang kejurulatihan Liga Malaysia sekiranya mendapat tawaran yang menepati 'seleranya'.
Terdahulu, tiga pasukan iaitu Selangor FC, Kelantan FC dan Perak FC dikhabarkan berminat dengan khidmat jurulatih berusia 66 tahun tersebut.
Bagaimanapun, Rajagobal memberitahu, beliau masih belum menerima sebarang ‘lamaran’ atau tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan setakat ini.
Menurut Rajagobal, sekiranya terdapat tawaran yang diberikan itu menepati cita rasa yang diinginkan, beliau tidak menolak akan kembali ke bidang kejurulatihan semula.
“Buat masa ini, belum ada tawaran lagi. Tetapi jika ada tawaran yang sampai, saya harus teliti terlebih dahulu sebelum mempertimbangkannya.
“Kalau syarat yang diletakkan mereka itu kena dengan saya, mungkin saya tidak menolak untuk kembali dalam bidang kejurulatihan,” katanya.
Nama Rajagobal tidak asing lagi dalam arena bola sepak Malaysia kerana pernah membimbing beberapa pasukan seperti PKNS, Selangor, Kelantan dan Sarawak.
Beliau juga diberi kepercayaan menerajui skuad kebangsaan, sama ada di peringkat senior mahupun junior sebelum dilantik sebagai pengendali Brunei pada 2020.
Namun, Rajagobal menamatkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD) selepas mencapai persetujuan bersama pada penghujung Januari lalu walaupun masih mempunyai baki kontrak selama setahun.
Untuk rekod, Rajagobal membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF 2010 selepas membimbing skuad Bawah 23 (B-23) negara meraih pingat emas Sukan SEA 2019 di Laos. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram