Legenda Man United ‘goyang’ amukan The Gunners


  • Podium
  • Ahad, 04 Sep 2022

Evra percaya Man United lebih gusar berdepan Arsenal berbanding sebaliknya malam ini. — Agensi

PERTEMBUNGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini bakal menyaksikan seteru tradisi apabila Manchester United bakal menerima kunjungan Arsenal di Stadium Old Trafford.

Kebangkitan yang dicatatkan pasukan kendalian Erik Ten Hag pasti memberikan sedikit rangsangan motivasi kepada mereka untuk mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut.

Namun, perasaan itu tidak dikongsi bekas pemain Manchester United, Patrice Evra yang gusar akan kemampuan dan persembahan bertenaga yang ditunjukkan pasukan kendalian Mikel Arteta itu.

"Pertembungan ini adalah sukar untuk diramalkan kerana ia merupakan satu perlawanan yang sengit bagi kedua-dua pasukan," katanya.

Tambahnya, The Red Devils juga perlu bermain dengan lebih bertahan seperti mana yang telah mereka lakukan ketika bertemu Liverpool bagi memastikan gawang dijaga David de Gea tidak dibolosi.

"Saya rasa Man United perlu memilih untuk bertahan sepanjang perlawanan sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini dan berharap agar nasib berpihak kepada mereka.

"Arsenal berada dalam prestasi yang luar biasa, mereka berjaya membawa tiga mata berharga meskipun berhadapan pasukan yang mengelirukan dan itulah yang merisaukan saya," katanya.

Patrice_Evra_

Bekas pertahanan kiri Manchester United, Patrice Evra. — Agensi

Evra pasti memahami kepentingan perlawanan ini apabila dia pernah berkali-kali turun dalam perlawanan sengit ini sepanjang hampir 10 tahun dia bersama kelab itu.

Selain itu, dia juga melihat kebangkitan pasukan London itu musim ini menyebabkan mereka kelihatan mempunyai kelebihan berbanding pasukan yang menjuarai EPL sebanyak 13 kali itu.

"Sebelum ini, saya tidak nafikan Arsenal mungkin gusar ketika bertemu Man United, tetapi senario itu sudah berubah sejak kebelakangan ini dan saya rasa, United lebih risau untuk bertemu Arsenal," katanya.

Arsenal ketika ini berada di tangga teratas liga selepas mencatatkan lima kemenangan daripada lima perlawanan yang telah mereka lalui, sekali gus mengumpul 15 mata maksimum tanpa sebarang keciciran mata.

Sementara itu, The Red Devils sedang menduduki tangga kelapan selepas mencatatkan tiga kemenangan termasuk satu kejayaan untuk mengatasi seteru utama, Liverpool dengan kemenangan tipis 2-1 pada perlawanan ketiga EPL musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram