Dengarnya 'ubi muda' mahu setia kekal di Kedah, tapi penyokong Sang Kenari paksa 'terbang tinggi'


  • Podium
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Penyokong Sang Kenari mahu Fayadh memilih untuk memajukan karier berbanding setia dengan pasukan Kedah musim depan. — Facebook/ KDA FC

PEMAIN sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli sememangnya aset bernilai buat skuad tersebut setelah mempamerkan aksi mantap sepanjang musim ini.

Di sebalik prestasi hambar Kedah sebagai satu pasukan dianggap mengecewakan ekoran mutu permainan yang semakin merosot, pemain muda ini terus menyinar dengan jaringan gol yang direkodkannya sepanjang musim ini.

Setakat ini, pemain berusia 23 tahun tersebut telah mencetakkan lapan gol pada 20 penampilannya bersama Kedah pada musim ini.

Menerusi kejayaan yang ditampilkan anak kelahiran Baling ini, sudah tentu KDA FC tidak teragak-agak untuk untuk melanjutkan kontraknya sebelum Fayadh disambar pasukan lain sejurus selepas musim ini berakhir.

Fayadh juga dikhabarkan mahu setia bersama skuad Sang Kenari apabila menolak tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super yang mahu memancing menggunakan khidmatnya pada musim depan.

Aksi Fayadh yang mencari-cari lencana di bahagian dada sebelah kiri untuk dicium pada perlawanan menentang KL City, Mac lalu pernah mencuri tumpuan penyokong.

Bagaimanapun, para penyokong KDA FC tidak bersetuju dengan keputusan pemain muda itu dan mahu Fayadh 'terbang tinggi' memburu majikan baharu berbanding selesa dalam pasukan yang kini bergelut dengan masalah prestasi.

Noorakma Johari berkata: "Kalau dapat tawaran lebih tinggi, pergi sahajalah. Masa depan dia juga. Kalau nak pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak, perlu berhijrah ke kelab lain.

"Pemain profesional perlukan peluang untuk maju. Selagi ada daya dan tenaga, pergilah rebut peluang di luar sana," kata Abdulaziz Hassan Salim.

Abu Loqman menambah: "Pergilah cari angin baharu. Nak maju kena berkorban juga."

"Pergi sahaja. Sementara kudrat masih ada. Tak payah setia pada lencana di dada. Lencana di dada tidak boleh bagi makan," tegas Mohd Nashrilizam.

Untuk rekod, pemain berkulit hitam manis itu kini menjadi pemain tempatan kedua menjaringkan gol terbanyak dalam saingan Liga Super musim ini selepas Darren Lok iaitu dengan sembilan gol.

Dua lagi penjaring tempatan dengan gol terbanyak ialah Faisal Halim (enam gol) dan Amri Yahyah (lima gol). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram