KDA FC hilang dalam bayang-bayang sendiri, namun apa puncanya?


  • Podium
  • Selasa, 30 Ogos 2022

KDA FC bergelut untuk menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PENYINGKIRAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC zon ASEAN mengundang 1,001 kritikan dan tohmahan daripada penyokong Hijau Kuning.

Mereka menyaksikan pasukan itu gagal memanfaatkan kehilangan dua pemain PSM Makassar akibat dilayangkan kad merah untuk mara ke pusingan seterusnya, sekali gus menamatkan kempen Piala AFC Sang Kenari buat musim ini.

Selain itu, dalam persaingan Liga Super pula, kejayaan yang dicapai musim lepas gagal diulangi selepas mereka ketika ini berada di kedudukan ketujuh rentetan daripada pergelutan yang mereka hadapi di atas padang.

Persoalannya, mengapakah skuad Sang Kenari seakan-akan bergelut pada musim ini selepas beberapa tahun mampu menampilkan persembahan yang cukup memukau serta mencabar kejuaraan demi kejuaraan?

1. Kehilangan figura penting

Nama Baddrol Bakhtiar sememangnya tidak asing daripada bibir peminat KDA FC apabila pemain berpengalaman ini sudah lama menabur bakti bersama pasukan berpengkalan di utara ini.

Bukan sahaja mampu menjadi 'enjin' kepada jentera tengah KDA FC, kehadiran Baddrol dengan lilitan kapten sememangnya memberi impak yang besar di atas kemampuan dan persembahan yang ditonjolkan skuad Sang Kenari sebelum ini.

Selain itu, kesetiaan yang dipamerkan pemain kelahiran Sungai Petani ini sememangnya tidak boleh dipersoalkan para peminat bola sepak tempatan seluruhnya.

Meskipun berjaya mengecapi pelbagai kejuaraan di pertengahan era 2000 termasuk kejuaraan 'Double Treble', penyingkiran skuad Sang Kenari ke kancah Liga Perdana pada 2015 menyaksikan beberapa pemain bintang meninggalkan kelab itu.

Namun, penyingkiran itu tidak mampu mempersoalkan kesetiaan Baddrol apabila pemain ini terus kekal untuk bermain di pasukan kesayangannya itu.

WhatsApp Image 2022-08-29 at 2.37.13 PM

Baddrol Bakhtiar kini bergelar kapten pasukan Sabah FC Instagram/Official Sabah FC

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila majoriti daripada penyokong Sang Kenari melihat kehilangan Baddrol dalam pasukan merupakan punca utama kepada kemelut yang menyelubungi pasukan ini.

Meskipun KDA FC masih mempunyai pemain-pemain berkualiti di posisi tengah, pengaruh Baddrol sebagai kapten pasukan semestinya dirindui para pemain.

Kini, Baddrol sedang mengerah keringat bersama Sabah FC yang menunjukkan kualiti tersendiri apabila pasukan kendalian Ong Kim Swee ini berada di tangga kedua liga dalam usaha mengejar slot untuk layak ke Liga Juara-juara AFC musim depan.

2. Pendekatan Aidil tidak membuahkan hasil

Selepas mengharungi 14 perlawanan liga, skuad Sang Kenari jelas menghadapi sedikit kesukaran daripada kedua-dua barisan serangan dan pertahanan.

Meskipun penyerang import, Ronald Ngah Wanja, atau lebih dikenali sebagai 'Pak Ngah' berjaya menyumbangkan sembilan gol dalam liga musim ini, kekurangan sumbangan daripada pemain-pemain lain menyebabkan pasukan itu hanya mampu berjaya menjaringkan 19 gol secara keseluruhan.

Kedah coach Aidil Sharin during the press conference at National Stadium in Bukit Jalil yesterday. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. November 1, 2019.

Pendekatan taktikal Aidil sering dipersoalkan penyokong Sang Kenari

Perkara itu adalah sedikit sebanyak berikutan pendekatan ketua jurulatih, Aidil Sharin Ishak yang kerap menurunkan pemain dengan formasi 4-5-1 atau 4-3-3 dalam saingan liga dan Piala AFC.

Pendekatan ini seperti memberi kesan kepada pemain-pemain lain dalam usaha mencetak gol peribadi apabila mereka lebih memberikan tumpuan membantu Wanja mendapatkan gol daripada serangan bahagian sayap.

Selain itu, sekiranya memilih untuk bermain dengan formasi 4-5-1, Aidil akan menurunkan dua pemain tengah menyerang, seperti Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud al-Mardi bagi menyajikan lebih banyak peluang kepada penyerang kelahiran Cameroon itu.

Namun, perkara ini menjejaskan keseimbangan kepada pasukan apabila pemain tengah bertahan perlu memainkan peranan yang besar dalam menyekat percubaan pasukan lawan untuk mendapatkan peluang jaringan.

Hal ini sepertinya memberi kesan kepada barisan pertahanan skuad Sang Kenari apabila mereka telah dibolosi sebanyak 25 kali dalam saingan liga, yang menyebabkan mereka keciciran mata-mata penting.

3. Isu ketirisan dan ketulusan pihak pengurusan

Beberapa bulan kebelakangan ini, segelintir penyokong telah menimbulkan persoalan dan kesangsian terhadap cara pengurusan kewangan yang dipraktikkan KDA FC.

Selain menuding jari terhadap Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, penyokong turut meminta agar penjelasan yang telus diberikan kepada mereka untuk memahami proses audit dan sumber kewangan.

Antara perkara yang dipersoalkan adalah isu dana yang mungkin dihadapi pasukan berikutan terdapat laporan yang mengatakan KDA FC berdepan masalah tunggakan gaji para pemain.

Namun, satu kenyataan telah dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menafikan terdapat masalah tunggakan gaji kepada para pemain.

279810218_419951746632848_3688028859750879668_n

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali Facebook/Kedah Darul Aman FC

Selain itu, satu sesi dialog bersama kelab penyokong Sang Kenari juga telah diadakan dalam usaha menjawab persoalan mengenai isu-isu berbangkit terhadap pihak pentadbiran.

Meskipun penjelasan telah dibuat, persoalan demi persoalan masih lagi diajukan penyokong apabila mereka melihat terdapat unsur luaran yang menyebabkan pemain tidak bersemangat dalam setiap perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram