KELANTAN FC yang menang ke atas Polis Di Raja Malaysia (PDRM) FC 2-1 dalam saingan ke-15 Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu sekali lagi dihimpit dengan insiden kontroversi.
Jika Rabu lalu, insiden pemain Perak, Sunday Afolabi melakukan aksi simulasi berlebihan yang didakwa melengahkan masa perlawanan, kali ini dua pemain Kelantan pula didakwa turut bertindak sedemikian.
Selepas mendahului 2-1 ke atas pihak lawan, pemain The Red Warriors (TRW), Felipe Hereda Dos Santos dan Nurshamil Abd Ghani dilihat terbaring pada minit ke-85 sehingga didakwa ia adalah taktik lengahkan masa oleh pemerhati bola sepak.
Kelantan FC meraikan kejayaan mereka menewaskan PDRM. — Facebook TRW
Berikutan kecaman dari penyokong akan aksi kedua-dua pemain TRW itu, pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman tampil memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
Menurutnya, aksi kedua tonggak TRW itu bukanlah disengajakan namun hakikatnya mereka sedang menahan kesakitan kerana kecederaan yang dialami.
“Tinggal lima minit sebelum perlawanan tamat saya nampak Felipe dan Syamil terbaring. Tak lama lepas dirawat mereka terus bermain hingga habis perlawanan. Tiada leceh-leceh..tiada lengah-lengah perlawanan.
“Sebelum main saya dapat info Felipe Hereda ambil pain killer dan saudara Syamil pula masih cedera semenjak perlawanan JDT ll yang lepas. Saya hormat mereka berdua ini sebab bermain sungguh-sungguh untuk Kelab Kelantan FC. Walaupun cedera, tapi mereka nak juga bermain.
Tangkap layar perbualan Zamsaham dengan pihak pengurusan TRW berhubung insiden itu. — Facebook Zamsaham
“Dah 15 perlawanan setahu saya tiada pemain TRW Kelantan FC suka-suka guling-guling, baring-baring atau lengah-lengahkan perlawanan. Kalau ada, inshaALLAH saya orang pertama yang akan tanya...kenapa baring-baring. Kita doakan semoga pemain-pemain segera sembuh dan cergas fit untuk perlawanan berikutnya,” katanya menerusi laman Facebooknya pada Ahad.
Sebelum ini, Norizam atau lebih dikenali dengan nama Zamsaham pernah memberi nasihat kepada pemainnya untuk tidak melengah-lengahkan masa dalam perlawanan bola sepak.
Kemenangan tipis itu meletakkan TRW kekal menerajui takhta Liga Perdana dengan 35 mata, lima mata di depan JDT II di tangga kedua liga yang beraksi kurang satu perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram