'Patut 2 kad merah' — Insiden panas warnai aksi TRW-JDT II


  • Podium
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Rata-rata penyokong Kelantan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada Daniel Ting. — Facebook/Kelantan FC

KELANTAN FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim II (JDT II) dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Pertembungan itu bagaimanapun menyaksikan perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan sebaik sepak mula bagi memburu gol pembukaan.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-19 menerusi sepakan penalti oleh Nurshamil Abdul Ghani.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT II terus menggandakan asakan bagi menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan.

Pada minit ke-35, berlaku insiden kekasaran membabitkan pemain Kelantan yang cuba menyepak Ahmad Aysar (JDT) yang terjatuh akibat dikasari sebelum ditolak oleh Daniel Ting.

295013781_7765667386837034_7802241580874272787_n

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-19 menerusi sepakan penalti oleh Nurshamil Abdul Ghani. Facebook/ Kelantan FC

Dalam insiden tersebut, Jasmir Mehat (Kelantan) dilayangkan kad merah apabila dia mengutip dua kad kuning, sebaliknya Daniel Ting hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-49 hasil gerakan yang dilakukan oleh De Paula sehingga berjaya mencipta jaringan umpanan cantik pemain JDT kepada Daryl Sham menerusi tandukan.

Perlawanan semakin panas apabila pemain import Kelantan, Kervens Belfort kemudiannya dikasari pada minit ke-72 sehingga mengakibatkan pengendali Kelantan, Rezal Zambry berang dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil.

Insiden itu turut dicemari dengan tindakan penyokong tuan rumah yang membaling botol air ke arah pengadil perlawanan.

Kedua-dua pasukan masing-masing tidak menunjukkan kepenatan apabila rancak silih berganti memburu gol kemenangan bagi memburu tiga Mata pada perlawanan tersebut.

Dalam ruangan komen Facebook, rata-rata penyokong Kelantan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada Daniel Ting dan ada juga yang tidak berpuas hati dengan sikap Jasmir itu.

"Tolong denda pemain Jasmir Mehat itu, tak berbaloi beli pemain macam ini, kualiti pun tak ada," jelas Mohd SY.

"Harap pengurusan pasukan Kelantan boleh buat surat gantung pengadil, tak tahu nak jaga tempo perlawanan," ujar Mohd Yusoff.

"Yang kena dua kad kuning itu kena hantar pergi kem anger management, dah jadi satu hal pula 10 player lain kena tanggung silly mistake dia," kata Jidi BaniJawi.

"Sepatutnya Daniel Ting itu pun kena kad merah, mana boleh tolak pemain macam itu, walaupun Jasmir salah tapi pemain JDT pun patut dilayangkan kad merah," luah Daniel Hakim.

Dengan keputusan seri itu, JDT II kekal berada di tangga kedua Liga Premier selepas mengumpul 24 mata sambil mengekori rapat Kelantan FC yang berada di puncak liga dengan 26 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kelantan FC, JDT II, Seri, Insiden, Pergaduhan