PELANTIKAN Datuk Zainal Abidin Hassan oleh Penang FC dilihat sebagai satu langkah yang diambil bagi menyelamatkan kelab itu daripada terus mempamerkan aksi hambar di bawah kendalian Tomas Trucha.
Setelah mereka mengalami isu kejurulatihan berikutan prestasi yang tidak memberangsangkan di atas padang, Zainal memikul tanggungjawab berat setelah pasukan itu tidak mencatatkan sebarang kemenangan memasuki perlawanan kesembilan liga.
Namun, pada awalnya, ketua jurulatih kelahiran Selangor ini menunjukkan sinar kepada para penyokong setelah beliau berjaya mengemudi pasukan itu ke arah kemenangan buat pertama kali apabila menundukkan Terengganu FC pada Jun lalu.
Kejayaan yang diperoleh menerusi jaringan penyerang Lebanon, Hilal El-Helwe dan T. Saravanan ketika berdepan Terengganu FC memberi sedikit kegembiraan kepada para penyokong yang merasakan mereka mampu mendapatkan rentak semula.
Namun, panas yang disangka hingga ke petang itu tidak berkekalan apabila prestasi mereka sekali lagi merudum setelah mencatatkan kekalahan dalam enam perlawanan berturut-turut.
Kehadiran ketua jurulatih berpengalaman ini memberi harapan kepada penyokong — Facebook/Penang FC
Namun sekali lagi Zainal memberi sinar buat penyokong Harimau Kumbang apabila menyingkirkan Sri Pahang FC dalam saingan suku akhir Piala FA untuk melayakkan ke pusingan separuh akhir setelah sekian lama.
Tapi sekali lagi, harapan penyokong melihat setidak-tidaknya satu piala dibawa pulang, tidak kesampaian apabila Penang FC tewas pada Johor Darul Takzim.
Prestasi itu sepertinya sudah dapat diterima penyokong pasukan setelah mereka hanya dapat melihat kelab kesayangan mereka itu sebagai pasukan tercorot liga.
Kegagalan Zainal untuk mengemudi kelab berpengkalan di utara itu ke arah kejayaan pasti memaksa pihak pengurusan memikirkan semula masa depan bekas jurulatih Melaka United FC ini.
Tetapi, terdapat perkhabaran yang dikongsikan kelab penyokong Penang FC menerusi laman Facebook Penang Brotherhood yang kuat mengatakan ketua jurulatih ini akan kekal buat musim 2023.
Perkara ini berikutan kesukaran untuk bekas pengendali mereka, Manzoor Azwira untuk mendapatkan lesen kejurulatihan yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.
Keputusan itu dilihat sebagai langkah gopoh yang diambil pihak pengurusan apabila penyokong itu berkata, Zainal tidak dapat mencapai sasaran yang diletakkan.
"Pada saya, keputusan untuk mengekalkan Zainal Abidin ini adalah satu perkara terburu-buru apabila beliau gagal merealisasikan hasrat daripada pihak pentadbiran dan penyokong.
"Walaupun pada saya salah satu sasaran yang diletakkan, iaitu memenangi satu trofi sukar dicapai, Zianal juga tidak dapat membantu pasukan untuk meraih keputusan yang baik di liga," kata kelab itu.
Selain itu, kelab penyokong itu berkata, sekiranya dilihat pengalaman Zainal bersama Penang FA pada tahun 2004 hingga 2008 dan daripada 2011 sehingga 2015, keputusan untuk mengekalkan ketua jurulatih itu sukar untuk diterima.
Penang FC hanya mencatatkan satu kemenangan liga setakat ini
"Persoalannya, adakah di Penang FC ada jaminan bahawa Zainal tidak akan menghadapi masalah yang sama seperti semasa dia memimpin Penang FA, terutama berkaitan bajet?
"Jika sama sahaja apa yang boleh disumbangkan Zainal seperti dahulu di mana dia hanya cenderung mendapatkan pemain-pemain berusia hingga tidak dapat bersinar dalam liga," katanya.
Perkara itu turut disuarakan En Mawie yang berkata, pendekatan taktikal yang diambil Zainal sudah tidak sesuai dengan rentak permainan hari ini.
"Maaf saya katakan, tetapi saya lihat corak perminan Zainal Abidin sepertinya sudah lapok. Mana ada pasukan lain yang bermain dengan hantaran bola tinggi lagi hari ini?" katanya.
Mohammad Razman Abd Rahim pula berkata, kecenderungan ketua jurulatih itu untuk membawa masuk pemain yang sudah melangkaui tahap terbaik perlu dipersoalkan.
"Saya pun risau juga dengan Zainal untuk membawa masuk pemain-pemain bagi saingan musim hadapan kerana saya lihat dia gemar untuk mengambil pemain berusia yang sudah tidak beraksi dengan cemerlang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram