Pahang ada peningkatan, Zainal Abidin sedar kemenangan lalu bukan ukuran Penang FC


  • Podium
  • Khamis, 18 Ogos 2022

Penang FC memburu kemenangan kedua selepas sekadar mengutip tujuh mata setakat ini. — Facebook/Penang FC

KEMENANGAN lalu bukanlah penanda aras buat Penang FC boleh bermain dengan selesa, sebaliknya perlu menjadikan perlawanan menentang Sri Pahang FC pada Khamis malam sebagai peluang membaiki kedudukan Liga Super musim ini.

Perkara itu diingatkan sendiri oleh ketua jurulatih The Panthers, Datuk Zainal Abidin Hassan kepada anak-anak buahnya agar tidak terbuai dengan kemenangan 5-2 berdepan lawan sama pada 23 Julai lalu sewaktu aksi suku akhir Piala FA.

Zainal Abidin berkata, pasukannya perlu memanfaatkan bermain di laman sendiri di Stadium Bandaraya, George Town, Pualau Pinang dengan sentiasa meningkatkan keyakinan dan disiplin yang tinggi bagi memburu tiga mata.

"Kita tidak boleh berdasarkan keputusan lepas sebab Pahang kebelakangan ini pun banyak peningkatan. Kita kena dapatkan mata bermain di tempat sendiri untuk ubah kedudukan.

"Kita perlu meneliti dengan peningkatan pasukan pahang bagi memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya kepada Majoriti.

Zainal Abidin juga mengingatkan agar barisan pemain Harimau Kumbang sentiasa mengawasi tiga tonggak Tok Gajah iaitu penyerang import, Andres Rodriguez, pemain tengah, Manuel Hidalgo dan Azam Azih.

Bakal mempertaruhkan Lucas Silva sebagai penyerang utama malam ini, Zainal Abidin berkata, kombinasi bintang dari Brazil itu bersama pemain lain menunjukkan peningkatan positif.

ZAINAL ABIDIN

Zainal Abidin mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terbuai dengan kemenangan 5-2 ke atas Pahang pada 23 Julai lalu sewaktu aksi suku akhir Piala FA. — Facebook/Penang FC

Selain itu, bekas tonggak bola sepak negara itu juga gembira kerana tonggak pertahanan, Rafael Vitor kembali beraksi selepas penggantungan kad kuning pada perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, Zainal berkata, kapten Penang FC, Endrick dos Santos masih tidak dapat diturunkan akibat kecederaan yang dialami.

"Kita tahu Hilal El-Helwe masih belum mendapat sentuhan magisnya. Endrick masih lagi kecederaan. Hilal tidak pasti dapat main atau tidak malam ini (Khamis).

"Walaupun tidak dapat kesebelasan utama yang sebelum ini tetapi pemain-pemain yang diberi kepercayaan bermain khususnya lawan Negeri Sembilan dapat tunjukkan peningkatan dan kepercayaan kepada pasukan. Jadi yang terbaik akan diturunkan," jelasnya.

Zainal Abidin juga sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan penyokong Penang FC yang sentiasa hadir memberi sokongan meskipun kedudukan Harimau Kumbang berada dalam kelompok terbawah Liga Super.

Ketika ini, Penang FC menghuni tangga tercorot liga dengan tujuh mata sementara Sri Pahang FC yang mengutip 18 mata di tangga kelima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram