Model tak pakai coli, 'kantoi' penganjur rupanya tiada permit


  • Primer
  • Rabu, 10 Ogos 2022

Gambar tular seorang model yang berpakaian mencolok mata hingga mendapat kecaman masyarakat. — Facebook

MINGGU Fesyen Kedah (KFW22) yang tular pada Selasa kerana seorang model yang tampil menggayakan pakaian mencolok mata rupanya tidak mempunyai sebarang permit.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, semakan awal mendapati pihak penganjur tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita akan memanggil penganjur untuk memberi penjelasan berkenaan model yang menggayakan pakaian mencolok mata pada acara tersebut.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penganjur sekiranya mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan." katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, tular di media sosial beberapa gambar model wanita yang berpakaian mencolok mata ketika acara KFW22 berlangsung di pusat membeli-belah Aman Central, Alor Setar, Kedah selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Gambar yang tular itu mendapat kecaman daripada orang ramai terutama netizen di media sosial yang mempersoalkan penganjuran program berkenaan dengan kerajaan negeri yang diterajui Pas susulan bertentangan dengan syariat Islam.

Sebelum itu, pada Khamis, Dr Mohd Hayati telah mengeluarkan kenyataan menasihatkan penganjur KFW22 agar mematuhi peraturan serta syarat-syarat kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.

Beliau telah pun mengingatkan agar pakaian yang diperagakan mestilah sopan serta tidak mencolok mata.

"Walaupun pertunjukan fesyen antara acara dibenarkan dalam Enekmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997, diharapkan pakaian yang diperagakan sopan bersesuaian dengan budaya timur," katanya.

Dr Mohd Hayati turut menjelaskan, KFW22 di luar bidang kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang hanya menjalankan tugas pemantauan bagi memastikan syarat serta peraturan ditetapkan dipatuhi penganjur, manakala urusan kebenaran dan lesen dikeluarkan oleh pejabat daerah.

Sementara, Pengurus Pemasaran Kanan Aman Central, Ken Chin, kesal dengan penularan gambar tersebut yang dikongsi oleh salah seorang tetamu KFW22 yang mana gambar berkenaan tidak mencerminkan kod etika pemakaian yang ditetapkan penganjur.

“Kami kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan akan pastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central dipantau dengan lebih ketat selepas ini.

“Selaku penganjur KFW22, kami telah mendapatkan kesemua kelulusan oleh pihak berwajib sebelum majlis dilangsungkan. Acara ini mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya oleh pereka tempatan yang menjadikan KFW sebagai platform rasmi kalangan pereka fesyen,” katanya.

Menurutnya lagi, KFW22 adalah acara tahunan di Aman Central dan tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak lain.

"Acara ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan pakaian dan jenama-jenama di Aman Central, selain menampilkan pereka tempatan tanah air untuk mempromosikan Aman Central. Penganjuran kali ini adalah penampilan semula selepas dua tahun acara tersebut dibatalkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19," ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya memohon maaf atas insiden berkenaan yang telah menyentuh sensitiviti pihak tertentu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram