DAKWAAN seorang guru dari Kelantan merogol seorang pelajar sekolah menengah di Bintulu, Sarawak menjadi semakin hangat apabila seorang lagi mangsa tampil membuat laporan polis.
Pengerusi Biro Pergerakan Pembangunan Wanita Kayan Tubau/Jelalong, Victoria Mujan Anak Nyeigok mengesahkan mengenai laporan terkini yang dibuat mangsa yang juga anak Orang Ulu.
Katanya, mangsa kedua diraba di bilik yang sama tempat suspek melakukan perbuatan terkutuk tersebut iaitu bilik muzik di sekolah berkenaan.
"Kedua-dua mangsa merupakan anak Orang Ulu dan berumur 14 tahun.
"Hasil perjumpaan dengan keluarga mangsa, saya diberitahu suspek turut merogol dan mencabul beberapa orang pelajar sekolah lain.
"Saya sendiri telah berjumpa dengan kedua-dua keluarga mangsa setelah mengetahui insiden tersebut.
"Kedua-dua pelajar terbabit masih trauma dengan tragedi hitam itu.
"Malahan ibu bapa mereka juga mengharapkan keadilan yang sepatutnya untuk anak mereka," katanya kepada Majoriti.
Victoria berharap agar suspek dapat ditemui dan menerima balasan yang setimpal
Victoria yang juga ahli terdekat keluarga mangsa pertama berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
"Pihak persatuan akan membantu mereka sehingga kes ini selesai.
Victoria mendakwa suspek juga pernah mengugut untuk menyaman malu keluarga dengan mengatakan suspek telah difitnah oleh ibu bapa mangsa kedua.
"Suspek menafikan perbuatannya dan terus menghilangkan diri sejak 19 Julai lalu.
Hasil pemerhatian Majoriti mendapati gambar guru tersebut kini tular di media sosial setelah Victoria meminta orang awam untuk membantu mengesan seorang guru berasal dari Kelantan dipercayai menghilangkan diri setelah merogol anak muridnya di halaman Facebooknya.
Sementara itu, polis telah mengeluarkan kenyataan mencari orang yang dikehendaki untuk membantu siasatan bersabit satu kes rogol pada 29 Julai lalu di daerah Bintulu,Sarawak.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Bartholomew Umpit berkata seorang penjawat awam yang dikenali sebagai Tengku Nasrul Haizal Mohd Nasir, 33, dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku di bahagian ini pada 29 Julai lepas.
"Kes yang melibatkan suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Justeru, mana-mana orang awam yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nurikman Bin Hadi di talian 019-3517155," ujarnya.
Orang ramai juga katanya boleh menghubungi terus talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram