BARU-baru ini, semua penunggang perkhidmatan p-hailling dikejutkan dengan peraturan lesen memandu vokasional (GDL) yang bakal diwajibkan selepas kelulusan pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan.
Berita itu nyata memberi kesan dan membebankan semua penunggang khususnya yang bekerja sebagai penghantar makanan kerana perlu menjalani beberapa ujian lisan dan kesihatan selain dikenakan bayaran tertentu.
Tidak terkecuali, penunggang Orang Kurang Upaya (OKU) juga turut berasa kecewa dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengangkutan kerana perlu menjalani ujian kesihatan sebelum lulus.
Tular di laman TikTok, pemuda ini yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan meluahkan keluhan berkenaan nasib dirinya.
Bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda, pemuda yang dikenali sebagai Ezzadohhai ini menunjukkan kecacatan kaki yang dialami sekaligus menghalang dirinya mengambil ujian lesen GDL berkenaan.
Beliau yang binggung memikirkan pelaksanaan peraturan itu turut mempersoalkan adakah masalah kecacatan yang dialami boleh diterima untuk ujian lesen GDL.
"Macam mana nak buat GDL, boleh lepas ke ujian," katanya sambil menunjukkan kakinya yang kurang sempurna.
Difahamkan, antara ciri-ciri yang perlu ada pada individu sebelum menjalani ujian, pemohon perlulah mendapatkan surat pengesahan kesihatan fizikal daripada doktor.
Sehubungan itu, rata-rata netizen turut bersimpati dengan situasi yang dihadapi lelaki tersebut dan meluahkan kata-kata semangat pada dirinya.
Kamarul Azman berkata, "Ingatkan kerajaan tolong rider rupanya tambah menyusahkan lagi ada, sekarang lesen GDL lepas tu cukai pendapatan pulak," katanya.
Seorang lagi netizen dikenali sebagai Amir berpandangan, keputusan ini sememangnya sesuatu yang menyusahkan dan pihak kerajaan seharusnya tidak menambah beban pada rakyat.
"Aku tak tahu la nak sedih ke nak gelak, apa la punya kerajaan sekarang ni, hantar makanan je pun, bawa motor je bukan nak bawa lori," katanya di ruangan komen.
Menurut laporan berita semasa, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) membantah syarat wajib lesen GDL dan bakal mengadakan sesi pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram