PEMINAT badminton tanah air diharap tidak terlalu memberi tekanan kepada Ng Tze Yong yang akan memulakan cabaran dalam acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Khamis.
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata pemain itu telah menunjukkan peningkatan prestasi susulan permainannya semakin matang ketika mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia dari India, K. Srikanth, 21-19, 6-21, 21-16, untuk menyumbang mata kedua Malaysia dalam final acara berpasukan campuran.
Malaysia merampas kembali pingat emas dalam acara itu selepas menumpaskan juara bertahan, India 3-1.
Chong Wei yang juga pemenang pingat perak pada tiga temasya Sukan Olimpik percaya, sekiranya diberikan ruang secukupnya, Tze Yong mampu mengulangi prestasi seperti yang ditunjukkan ketika menumpaskan wakil India itu.
"Saya hanya mengingatkan pemain itu supaya tidak lena dibuai dengan pujian dan bangga diri sehingga hilang fokus dalam acara perseorangan," katanya.
Malah, katanya, Tze Yong sudah menemukan rentak permainannya dan laluan dalam acara perseorangan agak berliku apabila dijangka berdepan buat pertama kali dengan pemain ranking kesembilan dunia dan juga juara dunia, Loh Kean Yew, dari Singapura di suku akhir.
Mengulas lanjut, Chong Wei yakin Tze Yong, pemain ranking ke-42 dunia, mampu mengekalkan prestasinya susulan mendapat tonik kejayaan, selain dorongan peminat yang mula menaruh harapan tinggi terhadap keupayaannya.
Tze Yong akan membuka kempen dengan menentang pemain Pakistan, Muhammad Irfan Saeed Bhatti,di Pusat Pameran Nasional di Birmingham pada pukul 11.30 malam Khamis (waktu Malaysia).
Chong Wei berkata, Tze Yong perlu berjuang habis-habisan serta mampu melakukan kejutan di samping perlu memperbaiki beberapa kelemahan untuk berada sebaris dengan pemain profesional negara, Lee Zii Jia.
Katanya, Tze Yong perlu meningkatkan tahap kecergasan dan kekuatan fizikal untuk memastikan beliau sentiasa berada di tahap terbaik, selain, mengurangkan risiko mendapat kecederaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram