Hilang khidmat Endrick, Zainal tagih kudrat 2 tonggak benam JDT


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Gambar-gambar yang sempat dirakam sekitar sesi latihan pasukan Penang FC yang diadakan di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor menjelang separuh akhir Piala FA 2022.

DISIFATKAN sebagai pasukan 'underdog' kerana jurang kekuatan dilihat agak jauh namun ia bukan alasan Penang FC untuk mengibarkan bendera putih dalam misi menentang Johor Darul Takzim (JDT).

Penyokong Liga Malaysia (Liga M) sedia maklum bahawa Harimau Kumbang pada musim ini mengalami masalah konsistensi perlawanan dan antara pasukan berada di kedudukan terbawah carta Liga Super 2022.

Manakala skuad Harimau Selatan pula dilihat semakin berjaya mengukuhkan kedudukan mereka pada saingan Liga M dan juga aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Bertemu skuad Harimau Selatan bagi saingan separuh akhir Piala FA 2022 pada Jumaat di Sultan Ibrahim Stadium, Iskandar Puteri, Johor, ketua jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mempertaruhkan dua tonggak.

Zainal Abidin berkata, Penang FC terpaksa menerima hakikat sekali lagi apabila kapten, Endrick dos Santos tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Harimau Selatan.

Namun penyokong Haria Penang Haria tidak perlu khuatir dengan kehilangan pemain berusia 27 tahun itu kerana penyerang berbisa, Hilal Bassam El-Helwe dan Lucas Silva akan menjadi taruhan Penang FC.

"Pemain lain mengalami kecederaan minor. Endrick memang out. Endrick dan Khairul Akmal memang tidak main sebab sakit. Akmal hamstring dan Endrick mengalami kecederaan lutut.

"Saya tidak nafikan kita perlukan Endrick tapi malangnya tanpa dia perlu diteruskan. Jumpa JDT bukan alasan Endrick tidak digunakan. Hilal dan Lucas akan jadi pertaruhan.

"JDT ada pemain-pemain baik tapi masih ada ruang dan peluang untuk kalahkan JDT. Kita tahu Penang tewas dua kali lawan JDT dengan jaringan tipis namun ia bukan alasan," katanya kepada Majoriti.

zainal

Baru-baru ini, Zainal Abidin (paling kanan) dianugerahkan gelaran Datuk dari Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bersama (paling kiri) Dollah Salleh, Ahmad Yusof (dua dari kanan) dan Yunus Alif (dua dari kiri).

Dalam pada itu, Zainal Abidin masih mengucapkan terima kasih kepada penyokong Penang FC kerana kekal berikan sokongan walaupun protes White Day dilaksanakan.

Protes White Day itu dilaksanakan berikutan prestasi merudum skuad tersebut disebabkan pelbagai faktor yang melibatkan isu pengurusan, kelemahan taktikal hinggalah jurulatih.

Zainal Abidin berharap agar kesemua pemain Penang FC tidak akan mensia-siakan peluang separuh akhir Piala FA itu dan baginya kejohanan itu boleh menjadi medium terbaik Harimau Kumbang memberikan senyuman kepada penyokong.

"Bermain di Johor, pemain kena melipatgandakan usaha kerana semua tahu kesusahan kita ke separuh akhir. Jadi jangan sia-siakan peluang itu.

"Kekalahan Liga Super bukan sebab nak fokus Piala FA. Tapi separuh akhir Piala FA ni kejohanan berlainan, memang kita janji akan perbaiki kedudukan Liga Super.

"Separuh akhir ini medium terbaik untuk buktikan dengan penyokong. Saya harap pemain-pemain tidak mensia-siakan pengorbanan penyokong," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram