PADA Khamis, pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mahmoud al-Mardi dilaporkan pulang ke Jordan untuk menziarahi ayahnya yang sakit tenat.
Perkembangan itu dikongsikan oleh penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menerusi media sosial dengan memaklumkan pemain kelahiran Aqaba itu bergegas pulang awal pagi, Khamis selepas mendapat berita berkenaan.
Hal tersebut menyebabkan al-Mardi terpaksa melupakan seketika persiapan akhir bersama pasukan untuk menghadapi saingan separuh akhir Zon Asean Piala AFC.
Perkhabaran berkenaan sekali gus meresahkan penyokong Kedah lantaran keadaan prestasi pasukan itu yang merudum selepas mengalami kekalahan dalam beberapa perlawanan saingan Liga Super dan Piala FA.
Aidil Sharin perlu bersedia jika al-Mardi tidak dapat beraksi dalam saingan Piala AFC pada 9 Ogos ini. — Facebook
Biarpun dilaporkan al-Mardi akan kembali bersama Sang Kenari sebelum berlangsungnya saingan Piala AFC pada 9 Ogos ini, rata-rata penyokong Kedah bimbang dengan pelbagai kemungkinan lain yang boleh menyaksikan al-Mardi tiada dalam skuad pada perlawanan penting tersebut.
Tanpa kehadiran pemain prolifik itu, Sang Kenari pasti bergelut untuk berdepan PSM Makassar FC dalam ujian getir saingan separuh akhir Zon Asean di Stadium Wayan Dipta, Gianyar Bali, Indonesia.
"Berita buruk buat KDA FC. PSM Makassar FC dah selangkah untuk menang," tulis Tarmizi Solusi di ruangan komen Facebook.
Mengambil kira situasi tanpa al-Mardi, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak perlu membuat perancangan ke hadapan bagi mengisi kekosongan di bahagian sayap pasukan Lang Merah.
Fayadh membantu Kedah membenam Kaya FC-Iloilo dengan dua jaringan gol dalam perlawanan pada 27 Jun lalu. — Facebook
Jurulatih Sang Kenari itu mungkin boleh mencedok resipi yang digunakan Azraai Khor Abdullah ketika membawa Kedah menjulang kejuaraan double-treble pada tahun 2007 dan 2008 iaitu berani menurunkan pemain muda.
Selain Syazwan Zainon, dua ubi muda Kedah dikenal pasti mampu menyahut cabaran untuk menundukkan pasukan tertua Indonesia itu.
Aidil boleh menurunkan Fayadh Zulkifli berdasarkan pengalaman yang dikumpul menerusi tiga perlawanan menentang Bali United, Kaya FC-Iloilo dan Visakha FC dalam saingan kumpulan G Piala AFC di Bali.
Fayadh membantu Kedah membenam Kaya FC-Iloilo dengan dua jaringan gol dalam perlawanan pada 27 Jun lalu. Kedah yang menang 4-1 turut meraih dua gol masing-masing daripada al-Mardi dan Ronald Ngah Wanja.
Aiman berpeluang bersama Kedah pada separuh masa pertama bertemu Visakha FC pada 30 Jun lalu. — Facebook
Selain itu, pemain berusia 23 tahun itu turut memahat nama sebagai salah seorang penjaring ketika Kedah menewaskan Visakha FC 5-1 dalam perlawanan pada 30 Jun lalu.
Peluang menggantikan al-Mardi juga boleh diberikan kepada Aiman Afif. Meskipun tidak mengumpul minit permainan sebanyak Fayadh (117 minit), ubi muda berusia 21 tahun itu berpeluang bersama Kedah pada separuh masa pertama bertemu Visakha FC.
Aiman yang bermain sebagai pemain tengah menyerang dalam perlawanan itu boleh ditempatkan di posisi al-Mardi iaitu di bahagian sayap kiri kerana kemampuannya bermain di kedua-dua belah sayap.
Ada atau tidak al-Mardi, Kedah perlu bersiap sedia menghadapi apapun kemungkinan menjelang perlawanan penting itu. Para penyokong pastinya mengharapkan pasukan kesayangan mereka bersedia dan mampu memburu kemenangan seperti yang dipamerkan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram