'Dah gertak, baru nak perform,' Feichtenbeiner masih belum dapat lampu hijau


  • Podium
  • Selasa, 26 Jul 2022

Feichtenbeiner (baju oren) masih lagi perlu membuktikan kemampuannya sehingga akhir musim ini. — Agensi

KEBANGKITAN Selangor FC pada tiga perlawanan lalu tidak memberikan lampu hijau kepada pengendalinya, Michael Feichtenbeiner untuk menarik nafas lega.

Ini kerana rata-rata penyokong Selangor belum lagi merestui ketua jurulatih dari Jerman tersebut dan mereka juga tidak mahu Feichtenbeiner terlalu selesa.

Terdahulu, kedudukan Feichtenbeiner dikatakan goyah setelah pasukan Gergasi Merah itu kalah 0-2 ke atas Melaka United, dalam perlawanan pada 5 Julai lalu sehingga mesyuarat tergempar di peringkat kepimpinan terpaksa diadakan selepas perlawanan tersebut.

Biarpun dikatakan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pengurusan Selangor, namun mereka bersepakat untuk terus memberi peluang kepada jurulatih Jerman tersebut.

Hasilnya, skuad Merah Kuning berjaya menempah tempat ke suku akhir Piala FA 2022 apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 8 Julai lalu.

Tidak terhenti di situ sahaja, skuad Selangor terus garang apabila mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu 2-0 pada Sabtu lalu.

Sabah Selangor

Skuad Selangor mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah FC. Facebook/Selangor Fc

Bagi saingan Liga Super pula, Selangor FC berjaya menamatkan kemarau tiga perlawanan Liga Super tanpa kemenangan selepas mencipta kejayaan 2-0 ke atas Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 17 Julai lalu.

Bagaimanapun, Selangor FC terlepas peluang untuk naik ke tangga keempat Liga Super selepas terikat 1-1 dengan pasukan jiran, Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Julai lalu.

Saif Ahmad menerusi laman Facebook berpendapat, "Jurulatih Selangor ini memang kena ugut dulu, baru nak buat ada kualiti. Kita kena tegas pada orang atasan, barulah orang bawahan bergerak. Tapi tanpa orang bawah, tidak ada kepentingan pun orang atasan".

"Kami belum terima Feichtenbeiner. Sepatunya, pihak pengurusan patut ada Indeks Prestasi Utama (KPI). Selain daripada pasukan Johor Darul Takzim (JDT), kita tak boleh kalah," kata Mohd Fazdil Abdullah.

"Kontrak dia sampai hujung tahun ini. Dah menang Piala FA baru cerita nak sambung atau tak," ujar Shaharuddin Adnan.

Muhammad Rafi Nuridjal menyambung "Selangor ni kira dah terlewat. Pasukannya dah ada perancangan lengkap. Kita tengok hujung musim nanti dapat tak piala. Kalau tidak, rombak lagi lah nampaknya".

Skuad Selangor yang kini berada di tangga kelima Liga Super bakal bertemu pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Pahang, pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram