PENAMBAHAN kuota pemain import yang diperkenalkan bagi saingan Liga Malaysia 2023 dikhuatiri bakal menyebabkan pemain-pemain tempatan dianaktirikan dan hanya berperanan sebagai pemanas bangku simpanan.
Pengumuman itu juga menimbulkan spekulasi bahawa kuota sembilan import itu memberi manfaat kepada skuad Johor Darul Takzim (JDT) berikutan pasukan itu mempunyai kewangan yang kukuh untuk memenuhi kuota tersebut.
Meskipun Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donnell mahu situasi itu dilihat sebagai satu cabaran buat anak tempatan bagi merebut tempat di kesebelasan utama, namun ramai yang skeptikal dengan kemampuan jurulatih untuk bersikap adil.
Malah, ada juga penyokong bola sepak tempatan yang menyatakan kerisauan berkenaan kesan terhadap pemain tempatan seperti masalah kekurangkan keyakinan dan kekurangan minit permainan
Ini terbukti apabila rata-rata kelab tempatan memilih pemain import untuk berperanan sebagai penyerang pasukan sekali gus membuktikan bahawa kepercayaan jurulatih lebih kepada pemain luar.
Pengumuman MFL berkenaan penambahan kuota import tersebut dikatakan menguntungkan pasukan JDT. — Facebook/ JOHOR Southern Tiger
Antara faktor yang dikatakan menyumbangkan kepada keputusan tersebut adalah keupayaan fizikal pemain luar yang terbukti lebih berkemampuan berbanding pemain tempatan.
Mengulas isu tersebut, Pengarah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institusi Sukan Negara (ISN), Wan Norafzan Wan Mahad mahu stigma terhadap kemampuan fizikal anak jati tempatan dihentikan.
Menurutnya, kemampuan fizikal adalah sesuatu perkara yang boleh dilatih dan bergantung pada tahap intensiti latihan.
"Pendapat yang mengatakan pemain import lebih berkemampuan dari segi fizikal hanyalah stigma. Pasukan tempatan harus bangkit dan berhenti daripada terlalu memberikan alasan atas kekurangan diri.
"Walaupun perkara seperti struktur badan dan ketinggian pemain tidak boleh dilatih atau diubah, namun stamina boleh dibina dan dilatih.
"Ini bermaksud, walaupun secara mata kasar, mereka yang bertubuh besar dan tinggi mampu beraksi lebih baik, namun tidak semestinya stamina mereka lebih kuat dari pemain bersaiz kecil.
"Ada je fizikal Asia yang bagus. Contohnya, kalau dalam Malaysia, pemain yang boleh dikatakan memiliki fizikal yang adalah pemain Kedah, Fayadh Zulkifli.
Selain Fayadh, pemain Sabah FC, Baddrol Bakhtiar juga antara pemain tempatan yang mempu memberi cabaran kepada lawan import mereka. — Agensi
"Dengan latihan dan intesiti yang betul. Mereka ini boleh digilap menjadi sehebat pemain import," katanya kepada Majoriti.
Sebagai rekod, Fayadh telah menyumbangkan tujuh gol dalam 16 penampilannya bersama skuad Kedah Darul Aman FC pada aksi Liga Malaysia musim ini.
Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kuota pemain import bagi setiap pasukan akan ditambah kepada sembilan, namun hanya lima orang pemain import dibenarkan untuk beraksi dalam satu satu masa.
Seorang lagi pemain import dibenarkan untuk berada di bangku simpanan sekali gus menyaksikan seramai enam pemain import boleh didaftarkan dalam satu perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram