PASUKAN Sri Pahang FC akhirnya boleh mendabik dada selepas berjaya memalukan Selangor FC dengan keputusan 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Rabu.
Permainan bermula rancak dengan aksi pemain import pemain Selangor FC, Herlison Caion yang tidak membuang masa untuk terus mengasak ke gawang gol beberapa saat perlawanan bermula, namun penjaga gawang Sri Pahang, Mamadou Samassa tangkas meranapkan harapan Selangor FC daripada mencatatkan gol awal.
Skuad Merah Kuning sekali lagi tampil agresif dengan percubaan Alif Haikal untuk menyumbangkan gol pada minit ke-16 namun tiang gol penyelamat buat pasukan Sri Pahang.
Bagaimanapun, kesilapan pemain no.5 Selangor FC, Yazan Al-Arab yang gagal menghantar bola ke rakan sepasukannya telah membuka ruang kepada penyerang Tok Gajah, Steven Rodriguez untuk meledakkan gol pertama Sri Pahang FC pada minit ke-34.
Pada minit ke-39, giliran pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff pula memanfaatkan kelekaan pertahanan Selangor untuk menyumbangkan satu lagi gol buat Sri Pahang sekali gus menjarakkan lagi jurang di antara dua pasukan berkenaan.
Pada babak kedua, pasukan Gergasi Merah kelihatan terdesak untuk mencari ruang bagi mendapatkan gol apabila asakan demi asakan dilakukan di benteng pertahanan Tok Gajah.
Selangor terus berputih mata setelah gagal menfaatkan kesilapan Samassa yang kelihatan meninggalkan gawang apabila hantaran silang Yazan dihalang oleh Caion sendiri.
Di tepi padang, kelihatan ketua jurulatih pahang, Dollah Salleh tersenyum bangga melihat skuad kendaliannya rancak mengawal permainan, manakala ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner tidak keruan.
Kemenangan Sri Pahang dapat dapat menebus kegagalan Dollah Salleh membawa kemenangan buat skuad kendaliannya pada aksi suku akhir Piala FA menentang Penang FC pada Sabtu lalu.
Skrip berbeza buat Feichtenbeiner, kekalahan Selangor FC itu pasti membuatkan kedudukannya sebagai nakhoda pasukan itu semakin goyah walaupun mencatatkan empat kemenangan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram