PEMAIN tengah Johor Darul Takzim (JDT) Syameer Kutty Abba telah menjalani pembedahan di Barcelona, Sepanyol, atas kecederaan lutut yang dialami.
JDT dalam satu kenyataan berkata, pemain berusia 25 tahun itu kini berada dibawah pengawasan pakar bedah sukan, Dr Juan Manuel Boffa.
"Kerjasama JDT dengan Dr Boffa, yang juga perunding untuk Manchester City, menyaksikan pemain JDT yang cedera dihantar ke Barcelona untuk mendapatkan rawatan dan memastikan pemulihan sewajarnya di bawah pemerhatiannya," kata kelab tersebut.
Syameer dijangka terlepas aksi kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) ketika JDT menentang kelab Jepun, Urawa Red Diamonds yang dijadual pada 17 Ogos ini.
Selain itu, pemain tersebut juga mungkin tidak dapat beraksi bersama Harimau Malaya dalam Kejuaraan AFF 2022, yang dijangka pada Disember ini sekiranya kecederaan yang dialami serius.
Sebelum ini, JDT pernah menghantar Gary Steven Robbat, Syafiq Ahmad, Natxo Insa, Ramadhan Saifullah dan S.Kunanlan untuk mendapatkan rawatan di Barcelona.
Menjengah ke ruangan komen di laman Twitter, @4dam15 mendakwa, JDT tidak begitu terkesan atas kehilangan Syameer.
Hal ini kerana, katanya, posisi pemain tengah kelab itu sebenarnya milik Naxto Insa.
"Tapi, bagi skuad kebangsaan Malaysia, satu kehilangan besar. Dah la dia sesuai dengan sistem KPG (Kim Pan-gon).
"Harap ada pengganti terbaik dia untuk AFF nanti. Semoga cepat sembuh," katanya.
Bercakap mengenai Kejuaraan AFF 2022, @LuqmanSEL berharap agar pemain tengah kebangsaan, Akram Mahinan terus konsisten dalam liga.
"Tapi Kennny Pallraj pula dah lama tak nampak. Dua ni agak sesuai ganti Syameer. Gary (Steven Robbat) perlu perbaiki lagi kecergasan kalau nak main," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram