Tiga aura positif Fandi Ahmad bakal suntik semangat Sri Pahang FC


  • Podium
  • Rabu, 27 Jul 2022

Pada 2000 Fandi pernah dianugerahkan jurulatih terbaik Liga S. — Agensi

LEGENDA bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, menyertai pasukan Sri Pahang FC selaku penasihat teknikal baharu kelab Liga Super yang mana pengumuman sudah dibuat oleh pihak pengurusan Tok Gajah pada Khamis.

Fandi merupakan salah seorang daripada pemain yang menganggotai skuad Pahang ketika muncul selaku juara Liga Premier dan Piala Malaysia 1992 yang mana Dollah Salleh turut merupakan sandaran utama pasukan tersebut pada ketika itu.

Bekas pemain kelahiran Singapura ini pernah membimbing beberapa pasukan antaranya Johor Darul Takzim (JDT), skuad kebangsaan Singapura, pasukan pembangunan Singapura Young Lions dan skuad Bawah 23 Tahun Singapura ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas.

294838090_5437753919618591_8983653925945422728_n

Fandi menyertai Sri Pahang FC selaku penasihat teknikal baharu pasukan. Facebook

Jawatan terakhir yang disandang oleh Fandi sebelum menyertai Sri Pahang ialah Ketua Pembangunan Elit Remaja di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), selain turut tersenarai dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Singapura dibawah kendalian Tatsuma Yoshida.

Beliau meletakkan jawatan pada 30 Jun lalu dengan alasan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta ingin menerokai pengalaman baharu. Pastinya pengalaman baharu yang dimaksudkan adalah ingin berjasa buat Sri Pahang pula.

Pahang kini menduduki tangga kedua dari bawah dalam kalangan 12 pasukan yang bertanding di dalam Liga Super.

Berikut adalah tiga perkara positif yang boleh dimanfaatkan pasukan Sri Pahang FC dengan kehadiran Fandi Ahmad:

medium_10e11e5d679bec59214cdc4fb577bd35

Fandi pernah menyarung jersi pasukan Pahang selama dua musim dan membantu pasukan itu meraih kejuaraan berganda. Agensi

1. Pengalaman

Fandi Ahmad sebenarnya bukanlah watak yang asing di Liga Malaysia kerana ketika masih bergelar pemain, Fandi pernah menyarung jersi skuad Kuala Lumpur dari 1986 sehingga 1989, dan membawa skuad warga kota bergelar juara liga (1988) dan Piala Malaysia (1987 dan 1988).

Era Fandi adalah era kegemilangan The Citizen untuk menghentikan seketika dominasi Selangor di Lembah Klang. Pada 1987 Fandi dan KLFA memenangi Piala Malaysia.

Kejuaraan back to back Piala Malaysia disulam dengan kejayaan pada 1988 yang juga tahun mereka mendapat kejuaraan berganda selepas menjuarai Liga Malaysia pada 1988.

Selepas itu Fandi juga pernah menyarung jersi pasukan Pahang selama dua musim dan membantu pasukan dari pantai timur itu meraih kejuaraan berganda sebagai juara liga dan Piala Malaysia pada 1992.

Fandi turut menjadi watak penting buat Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk melahirkan bakat pemain-pemain muda baharu yang berkualiti buat dijadikan pelapis skuad utama kebangsaan Singapura.

30513587-169

Fandi pernah diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Eredivisie Gabungan Bola Sepak Asia (AFC). Agensi

2. Idola pemain muda

Dengan kejayaan yang dibawa oleh Fandi sebagai jurulatih dan pemain, tidak salah untuk menyatakan bahawa pemain skuad Pahang pasti akan memandang tinggi legenda bola sepak Singapura ini.

Figura ini juga pernah diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Eredivisie Gabungan Bola Sepak Asia (AFC).

Menerusi hampir 30,000 undian, Fandi memperoleh 37 peratus undian sekali gus mengetepikan beberapa nama besar pemain Asia yang lain seperti Reza Ghoochannejhad (28 peratus) dan Alireza Jahanbakhsh (25 peratus).

Sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak di posisi penyerang Fandi berjaya menjaringkan 170 gol dalam 332 penampilan bersama beberapa kelab di Singapura, Malaysia dan Eropah.

Gergasi Eropah pada ketika itu Nottingham Forest sendiri pernah merisik khidmat beliau.

Fandi pernah mewakili kelab Groningen dan OFI Crete ketika melebarkan sayap kariernya sebagai pemain bola sepak di Eropah.

160907_FandiAhmad_TNP

Fandi pernah menjadi ketua Jurulatih Lions XII dan membantu pasukan tersebut menjuarai Piala FA Malaysia 2015. Agensi

3. Bukti kejayaan

Bekas penyerang kebangsaan Singapura ini pernah dilantik sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan menjadi jurulatih beberapa kelab di Liga Singapura (Liga S) dan kelab Indonesia. Pada 2000 beliau dianugerahkan jurulatih terbaik Liga S.

Pada 2012, Fandi diberikan kepercayaan oleh Tengku Makhota Johor (TMJ) untuk menjadi jurulatih JDT dalam revolusi sukan bola sepak negara yang baru dimulakan oleh baginda.

Beliau kemudiannya menjadi ketua Jurulatih Lions XII dan membantu pasukan tersebut menjuarai Piala FA Malaysia 2015.

Fandi Ahmad antara pemain terbaik Asia Tenggara sepanjang zaman walaupun tidak pernah memenangi Piala Tiger (AFF Suzuki) dan pingat emas Sukan SEA.

Beliau dinobatkan pemain terbaik Konfederasi Bolasepak Asia pada 1996 dan Fandi adalah pemain utama kebangsaan Singapura untuk tempoh yang lama.

Baru-baru ini, tiga anak Fandi iaitu Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi disenaraikan bersama skuad kebangsaan Singapura menjelang aksi kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 hasil didikan legenda Singapura itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram