SELEPAS dua tahun memiliki Kelantan FC, akhirnya Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan nama Zamsaham memberitahu yang pasukan itu sudah mula mencatat keuntungan.
Ini bermakna pasukan Kelantan yang kini merupakan penghulu Liga Premier berada di landasan yang tepat.
Bagi pemerhati bola sepak, Zuraimi Zukri, dia mengakui ada cara sebenarnya bagaimana Kelantan FC -mendapat keuntungan.
"Mengurangkan kos pada tahap yang sesuai dan realitistik serta meningkatkan harga 'barang' mengikut keadaan semasa.
Kesebelasan utama skuad Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC
"Semua tak suka dengan kenaikan harga barang tetapi masih ramai tidak memahami kos dan pendapatan bola sepak di Malaysia dengan betul.
"Sejak bermain di gelanggang sendiri, Kelantan keluar dengan idea menjual tiket secara agresif bermula lima hari sebelum perlawanan.
"Pada dua hari pertama, kelab akan memberi promosi RM15, hari seterusnya menjadi RM18 dan kemudian meningkat ke RM25 berserta pakej makanan.
"Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) patut ambil perhatian kerana jarak masa antara perlawanan cukup penting dalam perniagaan. Jangan buat jadual macam budak sekolah," katanya.
Jelasnya, mungkin ada yang merungut dan ada juga yang mahu menyesuaikan diri dengan strategi demikian tetapi apa yang penting ialah keuntungan kelab.
Antara aksi pemain Kelantan FC sewaktu pertemuan menentang JDT II baru-baru ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Ujarnya, bila kelab terus untung, maka pemilik pun makin seronok nak urus kelab dan perkara itu akan berbalik kepada kepuasan penyokong melihat pasukan mereka berjaya.
Zuraimi berkata, apa yang diharapkan penyokong kini adalah kehadiran penaja yang yakin dan mahu bekerjasama dengan pengurusan.
"Yakin sampai tahap setiap sen duit penaja akan diuruskan dengan betul. Dapat puluh juta tapi kalau asyik rugi pun tak seronok juga," katanya.
Tambahnya, apa yang penting kini adalah pembinaan kelab yang mampan lebih penting daripada kelab yang mengutamakan trofi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram