SELEPAS kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan bahawa pihaknya menamatkan kerjasama dengan ketua jurulatih pasukan itu, Benjamin Mora, timbul spekulasi berhubung individu yang bakal mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Desas-desus mengenai kehadiran jurulatih baharu dari Argentina bertiup kencang dan dikatakan akan diumumkan pada bila-bila masa oleh kelab Harimau Selatan.
Malah pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam memberi bayangan jurulatih itu sudah tiba di Johor Bahru.
Tidak terhenti di situ, peminat bola sepak tempatan turut membuat spekulasi kononnya jurulatih dari Argentina itu mungkin akan membuat penampilan semasa JDT menentang Sarawak United pada Rabu, malam.
Azha Adha membuat spekulasi kononnya pengganti Mora berasal dari Argentina dan berumur 49 tahun. — Facebook
Seorang pengguna Facebook, Azha Adha menerusi satu hantaran status mengucapkan selamat datang kepada D_ _ _ _ _ C_ _ _ _ _ yang didakwa sebagai jurulatih baharu JDT.
Dia mendakwa jurulatih itu berusia 49 tahun dan berasal dari Argentina. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan sumber berita itu.
Pada masa sama, Zulhelmi turut memberi bayangan melalui ciapan Twitter bahawa pengendali baharu itu ada kaitan dengan kelab Newell's Old Boys.
Berikut merupakan 3 calon yang disebut-sebut penyokong mungkin bakal mengisi tempat Mora sebagai pengendali baharu skuad Harimau Selatan.
Luciano ketika bersama JDT. — Facebook
1) Luciano Figueroa
Luciano bukanlah nama asing dalam skuad JDT. Bekas pengurus JDT itu menyertai skuad Harimau Selatan sebagai pemain pada 2014 sebelum dilantik menjadi pengurus pasukan pada 2018 dan membantu mereka mengecapi pelbagai kejayaan.
Bersama JDT, bekas pemain kebangsaan Argentina itu memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih 2015, disusuli kejayaan terbesar pada 2015 apabila JDT muncul kelab Asia Tenggara pertama menjulang Piala AFC.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri pernah membuat kenyataan bahawa Luciano sentiasa dialu-alukan untuk kembali ke pasukan itu.
2) Juan Sebastian Veron
Veron diketahui memiliki hubungan yang sangat akrab dengan Tunku Ismail. Tidak mustahil legenda bola sepak pasukan Argentina itu menjadi pilihan baginda untuk menggantikan Mora.
Veron, 47, yang juga Pengerusi kelab Estudiantes de La Plata dilaporkan beberapa kali berkunjung ke Johor untuk mengadakan perbincangan berhubung kerjasama antara kelab itu dengan JDT.
Dengan pengalaman yang dimiliki Veron, sentuhan bekas pemain Argentina itu ditagih untuk mengendali skuad JDT selaku juara lapan kali berturut-turut Liga Super.
Diego tidak terikat dengan mana-mana kelab ketika ini selepas meninggalkan kelab profesional Bolivia itu pada 24 September 2021. — Agensi
3) Diego Cagna
Diego merupakan salah seorang pemain Argentina yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan itu sekitar tahun 1988 hingga 2005.
Beliau juga berpengalaman menguruskan beberapa kelab di Argentina termasuk Newell's Old Boys pada tahun 2011. Kelab terakhir yang dikendalikannya adalah Jorge Wilstermann, sebuah kelab Bolivia.
Menurut data transfermarkt.com, Diego, 52, tidak terikat dengan mana-mana kelab ketika ini selepas meninggalkan kelab profesional Bolivia itu pada 24 September 2021.
Berdasarkan bayangan kelab Newell's Old Boys yang diberikan Zulhelmi selain pangkal nama DC itu, kemungkinan besar Diego Cagna adalah individu yang dimaksudkan.
Siapapun pengganti Mora, pengumuman berhubungan pelantikan baharu itu perlu disegerakan bagi membolehkan pemain JDT tampil lebih bersedia menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Urawa Red dari Jepun pada peringkat 16 terbaik di Saitama, 19 Ogos ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram