MFL bakal hidupkan semula ECP pantau bajet kelab


  • Podium
  • Selasa, 26 Jul 2022

Model ini juga selaras dengan penyelarasan yang dibuat seperti yang dilaksanakan di liga-liga Eropah dalam memantau perbelanjaan kelab ketika ini. — Agensi

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka memperkenalkan semula Ecnomic Control Programme (ECP) bagi membantu pasukan yang bersaing di Liga Super bermula pada tahun 2024.

Pengenalan kuota sembilan pemain import menjadi kerisauan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan daripada segenap aspek termasuklah dari segi kewangan pasukan.

Malah, ada juga yang berpendapat bahawa kelab-kelab bakal berbelanja sakan tanpa menghiraukan bajet yang diperuntukkan bagi kelab masing-masing.

Menerusi satu kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, beliau menjelaskan, program ini diperkenalkan semula selepas industri bola sepak ‘tutup’ ketika pandemik sebelum ini.

Oleh yang demikian, beliau yakin tahun 2024 menjadi waktu terbaik untuk mewujudkan semula program yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Dalam percaturan MFL, kita mahu memulakan semula ECP ini dengan satu tahun kewangan pada tahun 2023 bakal menjadi rujukan,” jelasnya dalam satu kenyataan di dalam program Nindia Bola.

Model ini juga selaras dengan penyelarasan yang dibuat seperti yang dilaksanakan di liga-liga Eropah dalam memantau perbelanjaan kelab ketika ini.

Hal ini juga bagi memastikan setiap pasukan dapat menjana wang dengan lebih efisien tatkala penambahan perlawanan bakal dilakukan menjelang sepak mula tahun 2023. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram