PETIKAN frasa bahasa Arab 'man jadda wa jadda' yang bermaksud sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya menjadi pegangan hidup Izzad Daniel Abdullah, 23, untuk bangkit mengubah dirinya selepas terpalit dengan kisah hitam di usia remaja.
Bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka itu membuang rasa malu dan tidak segan berkongsi pengalamannya selama tiga tahun di institusi khas tersebut di media sosial hingga meraih hampir 350,000 pengikut di TikTok.
Izzad yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia mula berkongsi pengalamannya itu sejak Disember tahun lalu iaitu ketika mula aktif di TikTok.
Selain aktif di media sosial, Izzad juga tampil memberi ceramah program motivasi di Sekolah Tunas Bakti. — Facebook
"Sedangkan ustaz yang sampaikan ilmu pun kena kecam, cikgu yang mengajar pun kena kecam, apatah lagi saya yang pernah digelar sampah...pasti ada kecaman daripada orang ramai.
"Tapi saya jadikan kecaman itu seperti api dalam diri saya. Bukan api kemarahan atau dendam namun api yang membakar semangat saya untuk terus maju," katanya kepada Majoriti.
Menurut Izzad, tujuan dia berkongsi pengalaman silam di platform media sosial TikTok dan YouTube antara lain bagi mendekati generasi muda pada hari ini supaya tidak salah memilih jalan hidup.
"Saya sendiri pernah terjebak dengan najis dadah sebelum terjerumus dalam kegiatan jenayah seperti samun dan pecah rumah. Rentetan itu, saya dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney pada 2016 ketika berumur 17 tahun dan keluar pada 2019," katanya.
Izzad berpeluang menyambung pengajian di KTAC selepas memperoleh 5A dalam SPM yang didudukinya di Sekolah Henry Gurney. — Facebook
Izzad yang digelar 'Izzad Punk' suatu masa dahulu, mengakui pernah memberontak ketika mula-mula ditempatkan di sekolah itu namun sedikit demi sedikit belajar untuk mengubah sikap menjadi manusia yang lebih baik.
"Saya mula terjebak dengan kegiatan tidak sihat ketika berumur 12 tahun bermula dengan mengambil pil kuda, syabu dan kemudiannya morfin.
"Bekalan diperoleh daripada rakan dan ada yang dibeli dengan wang curi, malah saya pernah mengugut orang tua saya untuk membeli bahan terlarang itu," katanya sambil memberitahu, dia merupakan anak yatim piatu sejak usia lima tahun dan dijaga oleh ibu bapa angkat.
Tambah Izzad, disebabkan dadah juga, pelajarannya terganggu malah hanya bersekolah sehingga tingkatan empat sebelum berhenti dan berkahwin pada tahun berikutnya semasa berusia 17 tahun.
"Namun, perkahwinan saya tidak bertahan lama kerana bekas isteri menuntut cerai selepas saya dibebaskan dua tahun lalu," katanya yang tetap bersyukur kerana diberi keizinan oleh mahkamah bagi melawat anaknya yang menetap bersama bekas isteri di Pahang.
Izzad dilantik menyertai Majlis Perwakilan Pelajar KTAC baru-baru ini. — Facebook
Bercerita lanjut, Izzad berkata, semasa di Sekolah Henry Gurney, dia mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan mendapat keputusan 5A sekali gus melayakkan diri menyambung pengajian di peringkat diploma.
Dia kini menyambung pelajaran dalam jurusan Diploma Pengurusan Penerbangan di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC), Kuala Lumpur.
Ikon Projek Reben Kuning Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu juga aktif memberi ceramah di sekolah-sekolah selain tampil dalam program-program motivasi anjuran universiti awam.
Berkongsi mengenai hala tujunya, Izzad yang baru dilantik menyertai Majlis Perwakilan Pelajar KTAC berkata, dia akan terus berusaha memperbaiki diri untuk menjadi orang yang lebih baik dan berjaya.
"Hidup ini ibarat mengayuh basikal dan untuk menuju ke sesebuah destinasi (matlamat), kita kena kayuh dan kekalkan keseimbangan basikal tersebut supaya dapat mencapai apa yang dihajati dalam kehidupan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram