Lebih ramai lelaki berbanding wanita di Johor


  • Primer
  • Selasa, 26 Jul 2022

Johor Bahru merupakan pusat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan siswazah, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

NEGERI Johor mempunyai lebih ramai lelaki berbanding wanita dalam lebih empat juta penduduknya, menurut laporan Banci Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan Banci Malaysia 2020, penduduk Malaysia adalah 32.4 juta orang dengan Johor mencatatkan 4.01 juta penduduk.

"Pertumbuhan penduduk negeri ini meningkat pada kadar 2.2 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2020. Johor juga mencatatkan bilangan lelaki melebihi perempuan, dengan nisbah jantina 115 lelaki bagi setiap 100 perempuan," tambahnya.

Mohd Uzir berkata demikian dalam satu kenyataan, selepas menyampaikan Banci Malaysia 2020 dan prestasi ekonomi Johor 2021 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pegawai kerajaan di Bangunan Sultan Ismail dekat Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Beliau berkata, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah juga meningkat kepada 85.3 peratus pada 2020 berbanding dengan 84.2 peratus pada 2019.

"Tenaga buruh dalam kalangan siswazah lelaki di Johor adalah 229,700 berbanding 187,600 siswazah wanita," katanya sambil menambah 45.1 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini adalah belia berumur antara 15 dan 40 tahun.

Mohd Uzir berkata, Johor Bahru merupakan pusat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan ini, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Tambahnya, sektor perkhidmatan menyediakan pekerjaan untuk 60 peratus tenaga kerja penduduk di Johor, manakala pembuatan menyumbang kepada 24.1 peratus pada 2021.

Katanya, majoriti belia bekerja di negeri ini berpendidikan menengah dengan kadar 60.6 peratus, manakala mereka yang berpendidikan tinggi adalah 31.7 peratus.

Ujarnya, komposisi penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas di Johor ialah 6.1 peratus, lebih rendah daripada kadar nasional 6.8 peratus.

"Berdasarkan penemuan Banci Malaysia 2020, negara dijangka mencapai status negara menua pada 2030, iaitu apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

"Peralihan demografi adalah proses perlahan untuk mengubah struktur penduduk, yang mana penduduk bergerak daripada tahap kesuburan dan kematian yang tinggi kepada kesuburan dan kematian yang rendah, serta perubahan ketara dalam taburan umur penduduk.

"Peralihan demografi Malaysia pada 2020 menunjukkan kadar kelahiran kasar (CBR) menurun kepada 14.4 setiap seribu penduduk, manakala kadar kematian kasar (CDR) juga turun kepada 5.1 setiap seribu penduduk," katanya.

Mohd Uzir berkata, kadar kelahiran bagi Johor adalah 15.1 bagi setiap seribu penduduk, manakala kematian adalah 5.5 bagi setiap seribu penduduk pada 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram