PENYERANG import Kedah Darul Aman (KDA FC), Ronald Ngah Wanja antara yang tersenarai dalam gol paling cantik di peringkat kumpulan Piala AFC 2022.
Gol tersebut disenaraikan laman sesawang AFC Cup bersama sembilan lagi jaringan gol yang lain untuk diundi penyokong.
Untuk rekod, gol yang diledak Ronald Ngah atau lebih mesra disapa dengan gelaran Pak Ngah ketika pasukannya beraksi menentang kelab dari Kemboja, Visakha FC pada 30 Jun lalu.
Sebahagian daripada aksi pertemuan antara KDA FC dan Visakha FC pada peringkat kumpulan Piala AFC 2022. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Menerusi gol tersebut, Ronald Ngah menerima umpanan bola daripada Dechi Marcel di kawasan tengah sebelum mengelecek dan melepaskan diri daripada kawalan dua pemain Visakha FC.
Ronald Ngah kemudian membuat larian secara solo dari tengah padang sebelum menggelecek seorang lagi pemain dan menjaringkan gol.
Gol tersebut dijaringkan pada minit ke 76, merupakan gol kelima yang berjaya dihasilkan KDA FC dan berbalas satu dari Visakha FC.
Selain gol Ronald Ngah, turut disenaraikan ialah jaringan daripada Rizky Eka Pratama (PSM Makassar: Indonesia); Jasur Khasanov (PFC Sogdiana, Uzbekistan); Daler Yodgorov (FC Khujand, Tajikistan) dan Ange Kouame (Tainan City FC, Taiwan).
Pasukan KDA FC bergambar selepas berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2022. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Lima lagi gol yang lain ialah Mikael (Eastern Long Lions, Hong Kong); Robinho (Bashundhara Kings, Bangladesh); Liston Colaco (ATK Mohun Bagan FC, India); Hussein Aljwayed (Jableh, Syria) dan Luiz Fernando (East Riffa, Bahrain).
Belum ada sebarang keputusan rasmi berkenaan dengan gol yang paling cantik di AFC memandangkan sesi pengundian belum selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram