Pemandu lori samseng ugut, acu pisau di Klang kena cekup


  • 112
  • Selasa, 26 Jul 2022

Suspek kini ditahan reman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

TINDAKAN seorang pemandu lori mengacu pisau terhadap pemandu lori lain di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman, dekat Klang, Selangor membawa padah selepas diberkas polis, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 12.25 tengah malam di Klang.

Menurutnya, penahanan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemandu lori berusia 30-an pada pukul 5.15 petang Isnin, dengan mendakwa lori dipandunya telah dipintas dan ditahan suspek yang memandu sebuah lori.

"Suspek dikatakan telah turun dari lori dengan membawa sebilah pisau dan terus mengugut mangsa dengan kata-kata ‘u tak kenal lagi siapa aku, kau tunggu aku cari kau’.

"Siasatan awal mendapati, motif kejadian lebih kepada buli jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan curi motosikal, namun ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pada Selasa, tular satu video berdurasi 31 saat memaparkan tindakan seorang lelaki mengacukan senjata dipercayai pisau terhadap pemandu lori. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

buli, samseng, jalan raya, pemandu lori, Klang