TREND membeli pakaian bundle (baju terpakai) sememangnya tidak asing dalam kalangan generasi masa kini, bahkan memiliki pakaian berjenama dengan harga murah dianggap sebagai satu tindakan bijak.
Setengah anak muda mengambil langkah lebih proaktif apabila bukan sahaja mengumpul, malah menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan.
Pilihan tersebut membolehkan Muhammad Afiq Najmi Bin Mohd Arizal, atau lebih mesra dengan panggilan Nami, menjana pendapatan sampingan mencecah ribuan ringgit.
Menurut Nami, minatnya terhadap pakaian terpakai mula berputik setelah mengikuti rakannya ke satu acara jualan barangan terpakai di Bangi sekitar tahun 2018.
Sejak itu, pemuda berusia 21 tahun ini menjadikan pembelian barangan bundle sebagai rutin mingguan untuk dijadikan koleksi peribadinya.
Pakaian terpakai menjadi sebahagian daripada trend remaja masa kini.— Agensi
Bagaimanapun, dia kemudiannya mendapat idea untuk menjual semula pakaian-pakaian tersebut di acara-acara jualan Car Boot atau platform atas talian seperti Carousell.
"Bagi saya keistimewaan baju bundle ini adalah harganya. Harga baju bundle jauh lebih murah berbanding baju-baju di kedai biasa.
"Berbeza dari sangkaan orang ramai, banyak juga baju bundle yang memiliki kualiti sama seperti baju-baju di kedai biasa.
"Setakat ini, paling banyak saya berbelanja dalam satu pembelian ialah sejumlah RM350 untuk lapan baju berjenama.
"Saya rasa sangat berpuas hati dengan hasil pembelian itu sebab kalau ikut harga pasaran sebenar, harganya boleh mencecah RM700.
Nami menjual semula koleksi peribadinya di acara Car Boot—Majoriti
"Jualan di acara Car Boot meriah, sebab ramai peniaga tetapi pulangan tidak selumayan jualan di platform Carousell. Saya pernah menjana hampir RM5,000 dalam masa tiga bulan dengan hanya menjual di Carousell.
"Jumlah jualan saya sebenarnya boleh dikatakan agak mengagumkan, kerana saya hanya lakukannya sebagai hobi," katanya kepada Majoriti.
Platform Carousell memberikan pulangan lebih besar buat Nami—Majoriti
Bagi sesiapa yang ingin berjinak-jinak dengan dunia bundle, berikut adalah beberapa tip dikongsi Nami.
- Perlu sertai acara bundle yang ada.
Jika hendak barangan murah dengan kualiti baik, pembeli dinasihatkan untuk menyertai kumpulan-kumpulan bundle yang ada di media sosial. Menurut Nami, penjual-penjual di acara-acara ini akan menjual dengan harga yang murah memandangkan terdapat persaingan di antara mereka.
- Pilih pakaian yang elok dan bersih
Pembeli mungkin akan rambang mata apabila sampai di tempat bundle. Oleh itu, penting untuk bertenang dan ambil masa untuk pilih pakaian yang sesuai. Jika boleh cuba, silakan. Walaupun pakaian terpakai, agak rugi kalau kita beli, tapi akhirnya tak tahan lama dan tidak boleh dijual semula.
- Bersiap sedia untuk kecewa.
Sudah nama pun pakaian terpakai. Saiz dan jenis pakaian adalah terhad. Kadang-kala, pembeli mungkin sudah membelek selama berjam-jam, namun tidak jumpa yang bagus. Oleh itu, hobi ini memerlukan minat yang mendalam kerana prosesnya tidaklah semudah yang disangka.
4. Cuci semula pakaian tersebut.
Walaupun pakaian yang dibeli nampak elok, kita perlu cuci terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan kita dari dijangkiti sebarang penyakit. Ini juga bagi menampakkan baju tersebut seakan-akan baru.
- Sebelum jual, pakai dulu!
Oleh kerana ini memang baju terpakai, tidak salah untuk kita pakai dahulu sebelum menjualnya semula. Nami menjual semula baju-baju yang dikumpulnya kerana itu memberikannya ruang untuk membeli lebih banyak baju bundle.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram