BERBADAN tegap bukanlah kriteria paling utama yang menentukan seseorang itu mampu mengendali atlet-atlet di bawah jagaannya, meskipun tidak dinafikan aspek itu melambangkan kredibiliti seorang jurulatih.
Penjelasan dari pihak Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah Institusi Sains Negara (ISN) tersebut secara tidak langsung menutup semua perdebatan di media sosial yang membandingkan bentuk fizikal jurulatih-jurulatih tempatan.
Perdebatan tersebut timbul apabila laman troll bola sepak Pahang is Dead 2.0 membuat perbandingan fizikal antara jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) dengan pengendali skuad Kedah dan Selangor.
Menurut pengarah AKK, Wan Norafzan Wan Mahadi, aspek yang paling utama dinilai dalam pengambilan jurulatih di Malaysia ini adalah pengetahuannya dalam bidang sains sukan serta pengetahuan mengenai sukan yang ingin dikendalinya.
Seorang jurulatih perlu mahir empat aspek penting berkenaan perkembangan seorang atlet iaitu dari fizikal, teknikal, taktikal serta psikologikal.
"Jurulatih yang berbadan tegap ni memang nampak lebih berkredibiliti berbanding yang boroi. Mereka ini mengajar tentang kemahiran, jadi sudah tentu lead by example itu penting.
"Saya tak nafikan, bila jurulatih itu berbadan tegap. Dia mampu untuk meyakinkan atlet-atlet di bawah seliaannya tentang kemahiran yang dia ada.
Pengarah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, Wan Norafzan Wan Mahadi — Majoriti
"Bagaimanapun, jika jurulatih tidak cukup fit untuk tunjuk kemahiran-kemahiran tertentu, itu bukan masalah besar. Mereka boleh menggunakan atlet lain sebagai contoh dan mereka juga boleh menggunakan video.
"Kita perlu ingat bahawa kebanyakan jurulatih adalah bekas atlet dan mereka pernah fit suatu ketika dulu. Kita tak boleh harap jurulatih masih lagi mengekalkan keadaan tubuh seperti mereka ketika muda dahulu," katanya kepada Majoriti.
Menurut Wan Norafzan, kriteria utama yang diambil kira pihaknya dalam menilai kejurulatihan seseorang individu adalah nilai tambah yang mampu disumbang individu tersebut.
Jika seseorang jurulatih itu memiliki badan yang tegap, perkara itu hanyalah satu bonus.
"Saya bagi contoh jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley. Badan dia agak besar, tapi anak didikan dia, Datuk Mohammad Azizulhasni Awang berjaya sampai ke Olimpik.
"Pengalaman saya bertemu jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, perkara pertama yang saya tanya dia adalah apa langkah pertama yang bakal diambilnya.
"Dia kata dia akan usahakan aspek kerjasama dalam pasukan terlebih dahulu. Pada Pan-gon, kerjasama dalam skuad kebangsaan ketika itu tidak begitu baik. Jadi, nilai tambah itu yang kami cari," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram