KEJAYAAN Malaysia menjulang trofi Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) buat kali kedua selepas menundukkan Laos 2-0 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Indonesia pada 21 Julai lalu berkemungkinan memberikan tuah kepada jurulatihnya, Hassan Sazali Waras untuk 'dinaikkan pangkat'.
Desas-desus mengenai individu yang berpotensi untuk menggantikan tempat Brad Maloney sebagai pengendali skuad Harimau Muda masih lagi bertiup kencang dan nama Hassan adalah antara yang hangat diperkatakan.
Mengulas mengenai kemungkinan itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar bersifat terbuka berkenaan dengan kemungkinan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pihak FAM ingin mendapatkan pandangan jurulatih kebangsaan dari Korea, Kim Pan-gon terlebih dahulu.
"Sekarang ini, target (sasaran) jurulatih Hassan adalah untuk membawa pasukan B-19 ke Piala Asia. Apa yang saya boleh cakap adalah... besar kemungkinan.
"Saya bukan mengiyakan. Kita akan membuat penilaian bersama-sama dengan pengerusi teknikal, ketua jurulatih Harimau Malaya serta pengurus-pengurus terlibat.
"Tapi kami mahu dapatkan pendapat daripada jurulatih Pan-gon terlebih dahulu. Aspek ini penting kerana kita mahu acuan bawah 23 tahun sama dengan skuad Harimau Malaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram; Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar; dan pengarah teknikal Scott O'Donel. — Facebook/FAMalaysiaOfficial
"Dari segi jadual latihan sehinggalah corak permainan. Jadi, pandangan Pan-gon sangat penting untuk memastikan semua boleh bekerjasama dengan baik.
"Mereka ini tidak semestinya datang dari dalam kalangan barisan kejurulatihan pengendali Harimau Malaya, sekarang ini potensi itu masih lagi terbuka.
"Kita juga akan buat perkara yang sama dengan skuad bawah 19 dan bawah 17 nanti. Cara ini memang dilakukan di banyak negara lain. Kita akan cuba terapkan pada skuad kebangsaan," katanya pada Sidang Media Mesyuarat ke-lima FAM di Kelana Jaya, pada Khamis.
Pada 13 Julai lalu, khidmat Brad Maloney sebagai jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara ditamatkan oleh FAM susulan prestasi skuad tersebut kurang memuaskan pada temasya Sukan Sea ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei lalu, selain tewas semua perlawanan di kejohanan Piala Asia B-23, baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram