Belum ada tawaran FAM lagi — Hassan


  • Podium
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Pemain skuad bola sepak B-19 negara meraikan jaringan gol ketika beraksi di kejuaraan B-19 AFF baru-baru ini. — Facebook/FAM

PENGENDALI skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara, Hassan Sazali Waras enggan terlalu memikirkan berita mengenai kemungkinan beliau dinaikkan pangkat untuk melatih skuad B-23.

Hassan berkata, fokusnya kini hanya tertumpu untuk mempersiapkan barisan pemain skuad B-19 yang akan mengharungi satu lagi tugasan penting pada Kelayakan Piala Asia hujung tahun ini.

"Saya menghargai jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi tawaran secara rasmi. Namun sehingga kini tiada apa-apa atau tawaran untuk dilantik sebagai jurulatih B-23 negara.

"Pada masa sekarang, saya ada tugasan yang perlu diselesaikan iaitu pasukan B-19 negara. Saya menyerahkan kepada kepada pihak pengurusan dan jawatankuasa teknikal untuk menentukan siapa bakal mengisi kekosongan itu.

1846650

Hassan mahu tahu apa penanda aras yang ditetapkan jika dilantik untuk mengendalikan skuad B-23 negara. — Sinar Harian

"Apa yang boleh saya katakan, sekiranya ditawarkan mengisi kekosongan itu, saya kena tengok tawaran itu kerana perlu tahu apa penanda aras yang diletakkan kerana perkara itu harus dibincangkan," katanya.

Sebelum ini, nama Hassan Sazali disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Brad Maloney selepas beliau berjaya membantu Harimau Muda menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Jakarta.

Terdapat beberapa nama lain yang dikhabarkan untuk mengisi tempat Maloney, antaranya ialah penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, E Elavarasan dan Paul Marti Vicente.

Selain itu, nama bekas jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak Bum yang membantu gergasi Asia itu muncul juara Piala Asia B-23 2022 turut dikaitkan bagi mengisi jawatan tersebut. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram