MENJELANG aksi menentang Selangor FC dalam suku akhir Piala FA pada Sabtu, bintang Sabah FC, Park Tae-su menagih khidmat pemain ke-12 yakni seluruh penyokong Sabah untuk turun ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah bagi memberikan sokongan padu kepada skuad The Rhinos.
Perjuangan skuad Sang Badak di laman sendiri tidak akan lengkap tanpa sorakan gemuruh dari penyokong dan ia sebenarnya mampu memberi impak besar terhadap moral pemain Sabah FC bagi mengharungi aksi kalah mati itu.
Pemain yang mesra dengan panggilan Pak Karim dalam kalangan peminat Sabah FC itu menitip pesanan buat penyokong setia Sabah FC agar memenuhi Stadium Likas pada aksi menentang skaud Gergasi Merah nanti seperti yang dilakukan sewaktu perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 15 Julai lalu.
"Datang lagi, jangan JDT sahaja. Saya mahu stadium penuh," kata pemain yang semakin fasih berbahasa Melayu itu menerusi perkongsian video dari laman Facebook rasmi Sabah FC.
Meskipun perlawanan menentang JDT berakhir dengan kekecewaan apabila tumpas 1-2, namun barisan Sabah FC sangat menghargai pengorbanan lebih 30,000 penyokong yang membanjiri Stadium Likas untuk memberikan sokongan di stadium.
Berdasarkan laman rasmi Facebook Sabah FC, menjelang perlawanan menentang skuad Selangor di bawah kendalian Michael Feichtenbeiner itu, separuh daripada penjualan tiket berjaya terjual.
Sementara itu, menjengah di media sosial, majoriti penyokong setia Selangor FC juga tidak sabar untuk melihat perlawanan berkenaan dan bagi mereka, barisan pemain Gergasi Merah perlu mengawasi Tae-su yang dilihat semakin cemerlang.
"Kalau nak menang, kena kawal pemain Korea itu dan pecahkan benteng pertahanan Sabah yang kuat. Kalau tidak pulang hampa," kata Alfyan Aghanie.
Sebahagian pemain Sabah FC sewaktu perlawanan menentang TFC. — Facebook Sabah FC
Mana tidaknya, pemain berusia 32 tahun itu sememangnya digeruni pihak lawan apabila tiga perlawanan terakhir skuad The Rhinos, hanya Tae-su yang tampil menjaringkan gol buat pasukan Borneo itu.
Malah, sewaktu menentang Terengganu FC (TFC) pada Selasa lalu, pemain kelahiran Korea Selatan itu turut mencetak kedua-dua gol sekali gus memberi tiga mata buat Sang Badak yang menang 2-1.
Untuk rekod, Sabah kali terakhir menjuarai Piala FA pada 1995 manakala Selangor adalah pemenang Piala FA paling banyak bersama Kedah apabila sudah menjulang sebanyak lima kali iaitu pada 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram