Lama tunggu urusan pusaka, ketahui 5 sebab dana amanah bantu waris hadapi kecemasan


  • Bizz
  • Isnin, 25 Jul 2022

Jumlah tuntutan akan dibuat secara lump sum atau sekali gus kepada waris seperti yang diamanahkan.

PASTI ada sebahagian daripada kita pernah berdepan situasi hilang punca pendapatan selepas ahli keluarga meninggal dunia secara mengejut, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan ketua keluarga.

Dalam situasi ini, waris pasti buntu kerana harta boleh alih seperti wang simpanan dalam bank selain institusi kewangan lain dibekukan sementara waktu sebelum urusan pindah milik harta dibuat.

Hal tersebut pasti menyukarkan kehidupan seharian lebih-lebih lagi jika pasangan tidak bekerja manakala anak-anak pula masih kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif UBB Amanah, Aida Othman berkata, situasi pasti lebih rumit bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mungkin tidak memiliki wang tunai mencukupi untuk menghadapi saat-saat sukar sedemikian.

Ditambah pula dengan kerenah birokrasi yang menyebabkan proses tuntutan mengambil masa yang panjang selain penyediaan pelbagai jenis dokumen sokongan.

Ini lima kelebihan dana amanah UBB yang boleh membantu waris menghadapi waktu kecemasan.

1) Pendapatan sementara

Dalam situasi jika berlaku kematian, harta boleh alih si mati seperti wang tunai yang didepositkan dalam akaun bank akan dibekukan.

Waris memerlukan wasiat dan urusan pusaka untuk menyahbeku akaun yang mana proses berkenaan boleh mengambil masa sehingga 12 bulan sebelum urusan itu dapat diselesaikan.

Tidak seperti deposit tetap (FD) dan insurans, dana amanah yang ditawarkan oleh UBB Amanah adalah dalam bentuk simpanan yang boleh diakses waris jika berlaku kecemasan termasuk kematian kepada individu yang membentuk amanah tersebut (settlor).

Dana amanah boleh dikeluarkan oleh waris yang layak sekali gus membantu mereka daripada segi kewangan dan kelangsungan hidup sementara mendapat akses kepada wang dalam akaun bank si mati.

2) Proses mudah dan pantas

Waris boleh membuat tuntutan wang amanah dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari dari tarikh permohonan dibuat. Selain itu, waris tidak perlu melalui proses yang renyah kerana tidak banyak dokumen yang diperlukan.

Mereka hanya perlu mengemukakan kad pengenalan, surat kematian, dan dokumen amanah daripada UBB untuk proses tuntutan.

file7lyhgvac1hl95glv30t

Menurut Aida, dana amanah menyediakan wang tunai secara pantas kepada waris sementara menunggu proses pembahagian harta pusaka selesai.

3) Pengeluaran terus kepada waris tanpa faraid

Selepas tuntutan siap diproses, dana amanah itu akan dibayar kepada waris mengikut kehendak mereka sama ada pembayaran melalui pindahan ke akaun bank, pengeluaran cek dan sebagainya.

Jumlah tuntutan jika akan dibuat secara lump sum atau sekali gus kepada waris seperti yang diamanahkan. Jika dana amanah itu diwariskan kepada anak, mereka boleh membuat tuntutan apabila mencecah usia 18 tahun.

Di samping itu, dana amanah bukan untuk difaraidkan. Ia hak milik mutlak waris. Dalam situasi ini, tidak akan timbul isu perebutan harta peninggalan si mati.

4) Tiada caj dikenakan

Menerusi dana amanah UBB, tidak ada sebarang caj yang dikenakan dalam penyediaan dokumen. Ini berbeza dengan tuntutan lain yang mana waris terpaksa membayar caj tertentu sebelum proses itu dapat diselesaikan.

Jika dana amanah yang ditinggalkan berjumlah RM30,000 contohnya, waris akan dapat jumlah sama iaitu RM30,000 tanpa ada sebarang caj daripada amaun tersebut.

5) Menawarkan dividen kompetitif

Dana amanah UBB menawarkan kadar dividen yang agak kompetitif iaitu kira-kira lima hingga tujuh peratus setahun.

Selain itu, UBB Amanah juga dalam proses untuk menjalani saringan syariah dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan status patuh syariah.

Buat masa ini, UBB Amanah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dipantau oleh Bank Negara sebagai pihak berkuasa yang berwibawa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

Menurut Aida, kesimpulannya, dana amanah menyediakan wang tunai secara pantas kepada waris untuk melunaskan kos pengurusan harta pusaka selain membantu dalam kelangsungan hidup seharian sementara menunggu proses pembahagian harta pusaka selesai.

Dana amanah itu juga boleh digunakan waris bagi membayar sebarang yuran guaman yang mungkin diperlukan untuk mengakses mana-mana harta pusaka sehingga mereka memiliki akses kepada wang dalam akaun bank dan entiti kewangan lain seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Amanah Saham Berhad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram