'Tak harap gol banyak, tiga mata cukuplah,' harapan Rezal Zambery berdepan JDT II


  • Podium
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Antara persediaan para pemain Kelantan FC sebelum menentang JDT II pada Jumaat. — Facebook/TRW Kelantan FC

PERTEMUAN antara Kelantan FC dan Johor Darul Takzim (JDT) II menjanjikan saingan sengit menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Kelantan kini dalam misi menjarakkan jurang dengan pasukan di tangga kedua dan ketiga iaitu Terengganu FC II (23 mata) dan JDT II (21 mata).

Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, beliau tidak mementingkan jumlah jaringan gol yang disumbangkan oleh Kelantan FC, sebaliknya hanya berharap supaya pasukan itu mampu mengumpul tiga mata penuh ketika menentang JDT II.

EA8F57C8-98D3-4EEA-8D3D-F414CC2D1C0B

Rezal mahu menjarakkan mata Kelantan FC dengan pasukan lain. — Facebook/TRW Kelantan FC

Mengakui bahawa JDT merupakan pesaing besar buat Kelantan FC, Rezal berkata, pasukannya sudah pasti membuat persediaan terbaik.

"Kalau kita lihat mata kita dengan JDT pun tidak begitu jauh disebabkan masing-masing mempunyai kurang baki perlawanan.

"Jadi, kalau kita boleh menjarakkan diri, saya rasa sudah cukup bagus buat pasukan Kelantan," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, sorakan peminat dan penyokong sudah pasti akan mempengaruhi dan mengembalikan semangat pemain.

Katanya, meskipun pemain tidak beraksi dengan baik, namun sorakan penyokong seolah-olah memberi satu semangat lain.

"Dan sudah pasti pemain-pemain mesti nak bermain dengan baik seperti aura yang ditunjukkan oleh penyokong. Saya pasti, dengan tambahan semangat, (pemain) boleh kembali semula ke zaman kegemilangan pasukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram