Budak 4 tahun tertelan dadah di Kelantan pulih, aktif seperti biasa


  • Massa
  • Ahad, 17 Jul 2022

Ibu kepada kanak-kanak empat tahun yang tertelan dadah jenis Methamphetamine berkata, anaknya sudah kembali meneruskan kehidupan seperti biasa. — Astro Awani

KANAK-KANAK empat tahun yang tertelan dadah jenis Methamphetamine di Kelantan sudah kembali meneruskan kehidupannya seperti biasa.

Menurut ibunya, keadaan anak lelakinya itu kini sudah bertambah baik apabila sudah mula makan, berjalan dan memulakan aktivitinya seperti kanak-kanak lain.

"Alhamdulillah, anak saya sudah pulih. Saya sangat bersyukur, dia sudah mula berjalan dan makan seperti biasa. Dia juga dah mula aktif seperti biasa," katanya memetik laporan Astro Awani.

Tambah wanita berusia 36 tahun itu, keadaan anaknya nampak bertambah baik sejak keluar daripada hospital selepas mendapat pemantauan rapi doktor di unit rawatan rapi Wad Kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Kuala Krai.

Sebelum ini, kanak kanak itu dilaporkan hanya dapat membuka mata, menggerakkan kaki dan tangan untuk bertindak balas selepas seminggu dimasukkan ke Hospital HRPZ II.

Kanak-kanak berkenaan mendapat perhatian umum selepas dikatakan tertelan benda terlarang itu ketika bersama bapa sepupunya pada 18 Jun lepas.

Mangsa sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dadah dikesan berada dalam darah dan badannya serta terpaksa bergantung kepada alat bantuan penafasan pada awal mendapat rawatan di hospital.

Susulan itu juga, bapa sepupunya dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana mendedahkan kanak kanak berkenaan kepada dadah tersebut.

Mahkamah Sesyen pada 28 Jun lepas turut menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat selama 180 jam serta bon kelakuan baik.

Tertuduh didakwa atas satu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram