Kelantan FC 'menang tawar' tapi hebat Zamsaham menduga


  • Podium
  • Isnin, 18 Jul 2022

Antara aksi pemain Kelantan FC dan UITM FC pada perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV. — Facebook Kelantan FC

AKSI di stadium keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan membawa tuah apabila skuad Kelantan FC berjaya menang tipis 1-0 ke atas UITM FC dalam aksi Liga Perdana yang berlangsung pada Isnin.

Pemain tengah skuad The Red Warriors (TRW), Syed Sobri muncul wira buat pasukan Kelantan apabila berjaya menembusi gawang UITM FC pada minit ke-76 dan sekali gus membantu Kelantan FC mengutip tiga mata penuh dan melonjak pasukan itu ke persada Liga Perdana.

Menarik mengenai keputusan aksi berkenaan, sasaran dari pemilik TRW FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali Zamsaham amat tepat selepas beliau meramalkan pasukannya menang 1-0.

"Saya sasarkan menang 1-0 pun jadilah lawan UITM. Konsisten itu penting. #TRW," katanya menerusi laman Facebook rasminya sebelum sepak mula berlangsung.

gol kelatan

Syed Sobri berjaya menjaringkan gol sulung buat Kelantan FC Syed pada minit ke-76. — Facebook Kelantan FC

Meskipun hajat Zamsaham terlunas, namun penyokong Kelantan FC tidak berpuas hati dengan kemenangan skuad TRW berikutan bagi mereka corak permainan yang dipersembahkan oleh barisan pemain kurang menarik dan meyakinkan.

"Alhamdulillah tiga mata harini. Tapi kena ingat. Kalau taktikal macam ini main di Liga super, memang lauk balik awal. Takkan kalah tiga perlawanan berturut-turut nanti baru nak tukar jurulatih? Jangan dijadikan alasan main petang sebab UITM pun main petang.

"Jangan dijadikan alasan dah lama berehat buatkan corak permainan tak cantik. Kalau macam tu, penat la tiap kali pertengahan musim berehat, persembahan akan jatuh. Ini adalah komen membina untuk persediaan ke Liga Super musim depan. InsyaaALLAH," kata penyokong setia, Zainul Ilias.

Firdaus Abdullah pula berkata, biarpun corak permainan 'tawar' tapi yang penting adalah tiga mata.

"Harap lepas ini dapat tingkatkan mutu permainan terutamanya di bahagian tengah," katanya.

Dengan kemenangan pada Isnin itu berjaya meletakkan Kelantan FC menduduki tempat pertama dalam saingan Liga Primer dengan 25 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram