LIGA Malaysia bermula sejak 1982, pada masa itu ia digunakan sebagai peringkat kelayakan ke Piala Malaysia dan bermula dari situ kejohanan liga menjadi salah satu pertandingan terpenting dalam kalendar bola sepak Malaysia.
Pada 1989 hingga 1993, Liga Malaysia dikenali sebagai Liga Semi-pro Malaysia dan pada 1994 hingga 2003, nama Liga Semi-pro ditukar kepada Liga M.
Liga Super merupakan liga bola sepak peringkat tertinggi di Malaysia yang mana setiap pasukan menjuarainya, akan layak bertanding ke peringkat kelayakan AFC Champions League (ACL) jika gagal layak, mereka masih boleh bertanding dalam AFC Cup.
Semenjak liga diasaskan pada 1982, nama bagi Liga Malaysia sering diubah mengikut format pertandingan iaitu Liga Malaysia, Liga Semi-Pro Divisyen 1, Liga Perdana, Liga Perdana 1 dan Liga Super Malaysia.
Liga Super pula sudah diasaskan sejak musim 2004 dan ini bermakna pada 2022, Liga Super sudah 18 tahun dipertandingkan.
Pasukan Pahang menjadi johan Liga Super 2004. — Agensi
Jumlah pasukan juga sering berubah-ubah mengikut format pertandingan seperti pada 2004, perubahan drastik dilakukan oleh FAM dengan membenarkan hanya 8 pasukan bertanding di Liga Super.
Manakala 16 lagi pasukan bersaing di Liga Premier yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan selepas tiga musim FAM sekali lagi mengubah jumlah pasukan kepada 13 pasukan.
Pada musim 2008, FIFA mengkritik format liga yang digunakan FAM dan mereka menambah jumlah pasukan kepada 14 pasukan sehingga musim 2013 yang mana jumlah pasukan kembali dikurangkan kepada 12 pasukan di mana sistem perlawanan play off diperkenalkan.
Musim hadapan pula aksi liga bola sepak Malaysia akan berubah apabila saingan Liga Super akan memiliki 18 buah pasukan bertanding dalam satu musim mulai tahun 2023 dan pada tahun berikutnya akan dikurangkan menjadi 16 pasukan.
Selangor berjaya memenangi Liga Super dua kali berturut-turut 2009-2010. — FA Selangor
Liga Malaysia pernah melakukan pengharaman polisi pemain import selama 3 tahun bermula musim 2009 sebelum dibenarkan semula pada musim 2012.
Dominasi treble Kedah pada musim 2007-2008 terhenti akibat polisi ini sehingga menyebabkan mereka gagal menjuarai sebarang piala sehinggalah bergelar juara Liga Perdana 2015.
Selangor yang ketandusan sebarang piala sejak menjuarai treble 2005, berjaya memenangi Liga Super dua kali berturut-turut 2009-2010 termasuk Piala FA 2009 dengan barisan pemain tempatan terbaik semasa polisi ini dikuatkuasakan.
Kelantan juga gah menjuarai Liga Super musim 2011 dengan 100% pemain tempatan.
Pada musim 2012, FAM hanya benarkan 2 pemain import dan kuota tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun sehingga MFL memperkenalkan satu kuota khas untuk pemain Asia Tenggara yang mana menjadikan 5 kuota pemain import.
Pada musim hadapan MFL mengesahkan setiap pasukan dibenarkan mengambil 9 pemain import tetapi hanya 5 pemain import beraksi di atas padang manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut peraturan AFC.
Lions XII, mereka berjaya menjulang sekali Liga Super 2013, selain menjuarai Piala FA 2015. — Agensi
Liga Malaysia juga pernah disertai oleh pasukan luar negara seperti Brunei DPMM FC (Brunei) dan Lions XII (Singapura).
Brunei DPMM FC pernah bertanding di Liga Super pada musim 2007-2008 sebelum ditolak penyertaannya bermula 2009 manakala pasukan Lions XII pula bertanding secara automatik di Liga Super pada musim 2012-2015.
Sepanjang penglibatan Lions XII, mereka berjaya menjulang Piala Liga Super 2013, selain menjuarai Piala FA 2015.
Sejak itu, tiada lagi pasukan luar Malaysia yang bertanding dalam Liga Super.
Pasukan-pasukan dalam liga ini dilihat sebagai skuad pembangunan kepada semua 18 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook / MFL
Pada musim hadapan Liga Premier akan dimansuhkan buat sementara waktu dan 6 pasukan dari Liga Premier akan membentuk 18 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super 2023, manakala bakinya akan beraksi dalam saingan Liga M3.
Dua lagi liga akan diadakan mulai tahun 2023 adalah Liga Simpanan dan juga Liga B17 dimana saingan kedua-dua liga ini akan memiliki 18 pasukan bertanding.
Pasukan-pasukan dalam liga ini dilihat sebagai skuad pembangunan kepada semua 18 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2023.
Ini adalah gambaran secara ringkas bagaimana perubahan dalam aksi bola sepak tempatan Malaysia akan berlaku mulai tahun 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram