KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang sudah bersedia untuk melakukan penstrukturan Liga Malaysia (Liga M) sudah semestinya mendapat pelbagai respons daripada pelbagai pihak.
Penstrukturan Liga M itu menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam saingan Liga Super, manakala Liga Premier dihentikan sementara bermula musim 2023.
Pada masa sama, badan pentadbir Liga M akan turut memperkenalkan saingan Liga Simpanan bermula musim depan, melibatkan kesemua 18 pasukan Liga Super 2023 yang perlu menyediakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masing-masing bagi saingan tersebut.
Bersetuju dengan perkara itu, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, penambahan 18 pasukan adalah keputusan yang sangat baik untuk memastikan bahawa Liga M mempunyai lebih banyak perlawanan, yang bukan sahaja untuk bola sepak teknikal tetapi juga liga komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC itu berkata, gaji yang dibayar kepada pemain tidak murah dan oleh sebab itu mereka perlu bermain secara kerap.
"Sebab bila kita adakan perlawanan, masa itulah kita dapat menjana pendapatan. Setiap kali perlawanan merupakan majlis dan program yang kita boleh jual tiket, jersi selain penyokong dapat bersama-sama pasukan.
"Broadcasting (penyiaran) juga berjalan. Oleh itu, dalam setahun tu banyak perlawanan yang boleh penyokong bola sepak tempatan saksikan.
"Jadi, wajarlah untuk kita untuk wujudkan lebih banyak pasukan dalam Liga Super kerana ia adalah liga utama yang kita patut banggakan dan dinaikkan taraf," katanya kepada MFL.
Sementara itu, Norizam Tukiman berkata, bola sepak merupakan satu perniagaan, yang mana sekiranya Kelantan FC mempunyai 17 'match home', ia sudah bagus untuk menjana pendapatan pasukan dan pemain.
Jelas pemilik Kelantan FC itu lagi, sukan bola sepak memerlukan banyak perlawanan untuk tidak dilihat sebagai membosankan.
"Tapi, yang paling penting adalah 18 pasukan. Sebab kalau 12 pasukan sahaja, ia tak sampai kepada international standard (tahap antarabangsa), sebab kebanyakan top 50 atau top 100 ranking dunia semua average 17 atau 18 team.
"Saya rasa ini satu perkara yang kita sambut baik untuk reserve team," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram