'Liga Super Import,' Kelab kaya makin untung, pemain lokal kian tersepit


  • Podium
  • Khamis, 21 Jul 2022

Ramai berpendapat kedudukan pemain tempatan akan terancam dengan penambahan kuota import. — Facebook JDT

PENSTRUKTURAN baharu saingan Liga Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL) yang membenarkan pengambilan sehingga sembilan pemain import bagi setiap kelab bertanding bermula musim hadapan mendapat pelbagai respons dalam kalangan penyokong.

Menerusi penambahan itu, MFL masih kekal dengan hanya membenarkan 5 pemain import [iaitu 3+1 (Asia)+1 (Asean)] di atas padang pada satu satu masa dengan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan bagi menjaga slot pemain tempatan di atas padang tidak terjejas.

Rata-rata kelab penyokong bola sepak Liga Malaysia (Liga M) yang tampil memberi respons berhubung penambahan kuota itu kurang bersetuju dengan perubahan berkenaan kerana bagi mereka ia seolah menguntungkan kelab kaya dan lebih teruk lagi akan jejaskan perkembangan pemain tempatan.

Jurang kelab

Laman penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC, Helang Merah-Hijau Kuning menyatakan tindakan MFL itu seperti membiarkan kelab yang mempunyai kewangan kukuh memonopoli liga dan sekali gus menambah jurang antara sesebuah kelab di Liga M.

"AFC dan ACL pun limit sampai enam import, ini kenapa yang boleh sampai sembilan. Apa fungsi lebihan 3 lagi import ? Boleh kelab kaya tukar-tukar import sesuka hati sepanjang musim?," katanya.

"Liga super import tempatan. Demi martabat liga dan bola sepak negara al kononnya," ujar laman penyokong Sri Pahang FC, Hogoh Pahang Hogah yang berasa penambahan import itu menyebelahi kelab lain.

Kedahan green yellow pula berpendapat, penstrukturan baharu itu pasti menjejaskan kedudukan dan perkembangan pemain tempatan kerana mereka perlu bersaing minit permainan dengan pemain import.

Pemain lokal tergugat

Bersetuju dengan isu menggugat kedudukan pemain tempatan, laman penyokong Terengganu FC (TFC), We Bleed Black & White menyatakan jurulatih juga pasti lebih memilih bintang dari luar negara membarisi kesebelasan utama kerana kelebihan seperti stamina dan fizikal yang ada pada diri mereka.

Tambahnya, bukan hanya menjejaskan pemain tempatan malah isu pertambahan kuota import ini juga akan menyumbang kepada masalah kewangan yang menjadi barah dalam kalangan kelab bola sepak negara.

"Tak rasional langsung benar sembilan pemain import. Pelapis pemain Malaysia akan berkurang, pemain tempatan tak dapat minit permainan cukup dalam liga kompetitif, sudah pasti jurulatih akan utamakan import.

"Masalah kewangan pasukan akan terus meruncing, nak bayar gaji pemain tempatan pun masalah, apatah lagi pemain import, kalau gaji murah baik jangan beli import, kalau tak beli memang pasukan tertentu sahaja akan monopoli kejuaraan (faham sendirilah)," katanya.

darren lok

Darren Lok (tengah) merupakan penyerang Petaling Jaya City FC dan pasukan itu menjadi satu-satunya kelab di saingan Liga Super Malaysia (MSL) yang tampil tanpa sebarang khidmat pemain import. — Agensi

Malah, kuota import itu akan mengurangkan lapisan pemain negara terutamanya posisi penyerang bagi menggantikan Syafiq Ahmad dan Darren Lok bagi mewakili Harimau Malaya pada masa hadapan.

Mempunyai pendapat yang agak berbeza daripada kelab penyokong Johor Darul Takzim (JDT), JDTFC berasa lambakan pemain import sebenarnya membantu pemain tempatan untuk lebih berusaha dalam memberikan yang terbaik dan sekaligus mewujudkan persaingan sihat bagi merebut kesebelasan utama.

"Bola Sepak kita dah lama rosak pun, kita bukan tidak pernah bermain tanpa import, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah mengharamkan pengambilan pemain import suatu masa dahulu (2009-2011), tidak ada apa yang berubah pun ketika itu.

"Lihat dari sudut yang berbeza, jika anda merisaukan tentang keburukan yang akan dihadapi oleh pemain-pemain tempatan, cuba pula melihat dari segi kebaikannya," katanya.

Bagi laman penyokong skuad Perak FC, Perak F.C Supporters berpendapat jurulatih yang akan memainkan peranan besar dalam isu itu sama ada menggunakan semaksimum mungkin khidmat bintang import ataupun memberi peluang kepada pemain tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram