"IA takkan bertahan lamalah," demikian reaksi bekas ketua jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah terhadap pembaharuan yang diketengahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (FML) dari segi pengambilan jumlah pemain import dalam aksi liga bola sepak Malaysia.
Azraai yang juga bekas jurulatih Kedah berkata, jika diteliti kembali sejarah perubahan format dan peraturan Liga Malaysia (Liga M) pernah berlaku pengharaman polisi pemain import selama tiga tahun bermula musim 2009 sebelum dibenarkan semula pada musim 2012.
"Ada sekali pernah sekat selepas Kedah menang double treble, tiba-tiba tiada (sekat) import. Kalau tiada pemain import once for good tak apalah.
"Ini lepas tu kembali balik. Kenapa dulu stop (sekat), lepas tu ada balik, sekarang ni makin meningkat... dah ada sembilan kuota (pemain import) pula tu," katanya kepada Majoriti.
Azraai berkata, dia melihat banyak pelaksanaan berkaitan bola sepak tempatan dibuat secara tidak konsisten. — Facebook
Berpengalaman lebih 54 tahun dalam bidang bola sepak, Azraai berkata, dia melihat banyak pelaksanaan berkaitan bola sepak tempatan dibuat secara tidak konsisten.
"You woke up on the wrong side of the bed hari ini, you kata nak buat macam ni, after sometimes you tukar. Satu masa tu tak nak ada import, ada satu masa lagi tak nak ada (foreign coaches) jurulatih asing... mana (semua perkara ini)?" persoalnya.
Mengulas lanjut, Azraai berkata, tidak semua kelab mampu menggaji pemain import untuk memantapkan pasukan masing-masing kerana banyak yang mengalami masalah kewangan.
Menurutnya, pada masa sama, peluang pemain tempatan untuk beraksi dalam bola sepak aras tinggi akan terus disekat apabila pemain import menjadi pilihan jurulatih untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Hal itu juga katanya akan menjejaskan peluang pemain tempatan untuk beraksi dengan skuad kebangsaan apabila lebih ramai pemain import menjalani proses naturalisasi.
"Nanti lepas lima tahun, ada saja permohonan untuk naturalisasikan pemain untuk bantu team. Pemain tempatan kita akan kekurangan minit permainan jadi macam mana nak kompetitif," katanya.
Katanya, dalam hal itu, FAM dan MFL perlu mencari satu penyelesaian yang holistik supaya setiap keputusan dan pelaksanaan yang diambil tidak mendatangkan kesan buruk kepada industri bola sepak tempatan.
"MFL dan FAM kena fikir macam mana cara untuk perhalusi perkara ini demi bola sepak negara. Kita kena fikir nasib pemain dan team yang bakal mengharungi saingan tu nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram