Tambah kuota import, lebih banyak kelab bakal terkubur?


  • Podium
  • Rabu, 20 Jul 2022

Antara pemain import yang beraksi dalam liga tempatan.

PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkenaan dengan kuota pemain import bagi setiap pasukan akan ditambah kepada sembilan.

Menerusi penambahan itu, hanya lima orang pemain import dibenarkan untuk beraksi dalam satu satu masa.

Seorang lagi pemain import dibenarkan untuk berada di bangku simpanan sekali gus menyaksikan seramai enam pemain import boleh didaftarkan dalam satu perlawanan.

Perkara itu mendapat respons yang pelbagai daripada pengikut liga bola sepak tempatan. Ada yang menyambut baik dan menganggap bahawa keputusan itu akan meningkatkan lagi kualiti pemain tempatan.

293757242_2339699356193350_8397339021578009985_n (1)

Aksi pemain import JDT, Fernando Forestieri (dua dari kanan) — Facebook/Johor Southern Tigers

Namun, ada juga yang beranggapan bahawa keputusan itu sebenarnya hanya menguntungkan sesetengah pasukan sahaja dan akan memberi kesan buruk kepada kelab lain.

Selain itu, tidak mustahil ada kelab akan berdepan dengan kemelut kewangan angkara dihimpit masalah tunggakan gaji gara-gara mahu mendapatkan pemain import yang mahal dan berkualiti.

Bagi penyokong bola sepak Selangor FC, Zaidie Selangor, mungkin ramai yang memikirkan bahawa keputusan MFL itu hanya akan menguntungkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang mempunyai kewangan kukuh.

"Dalam arena bola sepak dunia, siapa yang kaya dan berpengaruh tinggi, itu kelebihan kelab itu sendiri. Mereka main bukan untuk juara kampung sahaja, tetapi mahu pergi lebih jauh.

"Contoh EPL, LA Liga atau Serie A. Kelab dalam liga ini akan mencari pemain terbaik di seluruh dunia sebab mereka ingin ke kejohanan Liga Juara-Juara UEFA.

"Sebab itu pasukan JDT ingin buat begini kerana sekurang-kurangnya, negara mempunyai kelab lain untuk dihantar ke Liga Juara-Juara Asia (ACL). Semua kelab harus bersaing dengan sihat," katanya.

292478085_7624595127612926_2134341794100371761_n

Dua pemain import yang beraksi untuk Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC. — Facebook/MFL

Pengurusan kelab perlu telus dan profesional

Bersetuju dengan pandangan tersebut ialah Harith Hasnan yang berkata, undang-undang baharu ini tidak hanya memberi kelebihan kepada kelab-kelab yang kaya sahaja.

Malah katanya, setiap kelab perlu mengukur baju di badan sendiri kerana pengambilan pemain import bukanlah sesuatu yang wajib.

"Tak dinafikan, kehadiran pemain import mewujudkan persaingan dan nilai tambah dalam liga, tapi perlu ada pengawalan yang bijak daripada pengurusan masing-masing.

"Perkara ini supaya bakat tempatan tidak dipinggirkan kerana jika berlaku, yang akan terkesan ialah kelab dan skuad kebangsaan," katanya.

Jelasnya lagi, pihak pengurusan kelab perlu bertindak profesional dan telus dalam urus tadbir kelab untuk bersaing secara sihat serta adil demi kemajuan bola sepak negara.

1661328

Pemain import Sabah FC, Jose Embalo (kiri) antara pemain yang mendapat kritikan negatif penyokong. — Facebook/Johor Southern Tigers

Ukur baju di badan sendiri

Namun, ada juga penyokong bola sepak tempatan yang menyatakan kerisauan berkenaan dengan pengumuman baharu daripada MFL terutamanya kesan terhadap pemain tempatan.

Zaid Abu Bakar berkata, dia berasa kasihan terhadap kemampuan pemain tempatan untuk merebut tempat dalam pasukan kalau kuota sembilan pemain import dipenuhi.

Mahu atau tidak, pemain tempatan perlu menampilkan usaha lebih gigih untuk mendapat tempat dan bersaing kerana pemilihan sembilan pemain import itu cukup untuk memenuhi setiap posisi dalam pasukan.

Seperkara lagi yang disentuh oleh Zaid adalah berkenaan dengan sumber kewangan setiap pasukan di mana perbelanjaan secara berhemah perlu dilakukan.

"Jangan terlampau nak kejar kekayaan sangat sehingga boleh menyebabkan gaji pemain tidak dibayar. Ambil iktibar yang berlaku sebelum ini contohnya melibatkan pasukan yang akhirnya terpaksa berkubur," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram