KEMENANGAN Sabah FC menewaskan Terengganu FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa mengubat luka para penyokong skuad Sang Badak yang sebelum ini kecewa dengan prestasi pasukan tersebut.
Pemain import dari Korea, Park Tae-Soo muncul sebagai hero buat skuad Sabah FC apabila tandukkannya berjaya menyumbangkan gol kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-70.
Tidak terhenti di situ, pemain tengah berusia 32 tahun tersebut sekali lagi meranapkan usaha penjaga gawang Terengganu, Suhaimi Husin apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar.
Di laman sosial, rata-rata penyokong Sabah menyanjung tinggi keupayaan Tae-Soo yang disifatkan sebagai satu pelaburan yang baik buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut.
Bagaimanapun, pendapat berlainan ditaburkan kepada seorang lagi pemain import dari Portugal, Jose Embalo yang dikatakan tidak memberi sebarang sumbangan meskipun berada di posisi penyerang.
Embalo dibawa masuk oleh Datuk Ong Kim Swee bagi menggantikan tempat penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa yang digugurkan kerana penurunan prestasi selain masalah kecederaan. — Facebook/ Sabah Football Club
Acing Aszroy menerusi laman Facebook mengucapkan tahniah kepada Kim Swee kerana tangkas membuat percaturan baharu pada babak kedua yang berhasil meledak kebangkitan buat skuad Negeri di Bawah Bayu itu.
"Tahniah buat semua pemain Sabah malam ini. Tahniah juga buat Datuk Ong Kim Swee sebab buat percaturan baru pada masa kedua. Kalau kita harapkan Embalo, mungkin kita seri ataupun kalah," katanya.
El Azlir Adha turut bersetuju dengan berkata, "berilah peluang Park Tae-Soo bermain dengan Sabah FC dua atau tiga tahun lagi. Tak rugi," jelasnya.
"Mantap Park Tae-Soo! Terus berubah permainan selepas Embalo dikeluarkan," tambah A'Lyana Kim.
Jilias Lintar turut berkongsi "Gugurkan Embalo. Badrul dah bingung mahu hantar bola kepada siapa. Masuk Amri Yahya baru hidup perlawanan itu. Badrul dan Amri sesuai dengan Tae-Soo. Jual sahaja Embalo itu, tak ada standard pemain import," tegasnya.
Selepas 10 perlawanan, Sabah FC kini mengutip 25 mata hasil tujuh kemenangan dan sekali seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram