Kepala tentera TLDM dipukul sebab salam tak pandang muka


  • 112
  • Rabu, 20 Jul 2022

Tangkap layar video tular yang memaparkan suspek (baju hijau) memukul seorang anggota TLDM. — Facebook

BERANG tidak memandang muka ketika bersalaman menjadi punca lelaki memukul kepala seorang jemaah dalam kejadian di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak pada Isnin.

Kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Video berdurasi 37 saat yang memaparkan kejadian pukul itu turut tular di aplikasi Twitter sejak Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan diterima daripada mangsa berusia 30-an yang merupakan seorang tentera TLDM.

"Dalam kejadian itu, mangsa bersalaman dengan lelaki tidak dikenali yang tiba-tiba menampar dengan kuat menyebabkan mangsa mengalami sakit pada belakang kepala dan telinga.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kerana mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalam menyebabkan dia berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kedua-dua pihak dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Perak untuk rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"Hasil rakaman percakapan, mangsa dalam kes ini tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan menarik semula laporan polis.

"Kes telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video tersebut kerana kes ini telah selesai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram