TIDAK sampai setahun lagi, saingan Piala Asia 2023 akan memulakan sepak mula. Lebih membanggakan, skuad bola sepak kebangsaan juga terlibat sama beraksi di pentas berprestij di rantau Asia itu apabila kali terakhir layak secara merit sekitar 42 tahun sudah.
Pejam celik, tempoh setahun itu bukanlah sesuatu yang singkat. Dalam tempoh setahun ini, senarai barisan pemain akhir yang akan berada dalam radar pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon pastinya bersulam ganti bermain di bibir-bibir peminat kesayangan bola sepak tempatan.
Mungkin, masih terlalu awal untuk bersembang pemain mana yang layak menyarung jersi Harimau Malaya di pentas Piala Asia nanti.
Biasalah lumrah dalam sukan bola sepak, faktor kecederaan sememangnya mengecewakan mana-mana pihak terutamanya pada saat-saat akhir, sekali gus menjadi punca utama pemain 'berputih mata' beraksi di pentas Piala Asia meskipun memiliki musim yang memberangsangkan dalam tempoh setahun akan datang.
Cuma, ramai peminat bola sepak tempatan percaya Pan-gon pastinya akan bersifat lebih selektif terhadap pemilihan pemain kali ini.
Tiada lagi istilah 'tangkap muat', apatah lagi memilih pemain 'diva' yang 'acah-acah bintang' dengan kontroversi luar padang sedangkan prestasi semasa tidak segah mana. Itu belum dikira kurangnya minit permainan bersama kelab, tetapi balik-balik muka sama juga yang dipanggil menyarung jersi kebangsaan sebelum ini.
Pan-gon dijangka lebih selektif ketika membuat senarai panggilan pemain ke Piala Asia nanti. — FAM
Bukan apa, ramai yang mendambakan skuad terbaik Harimau Malaya yang tampil buat kali keempat di pentas Piala Asia, jadi senarai pemain yang dipanggil Pan-gon kali ini juga wajar diambil kira.
Letak ke tepi dulu sentimen kononnya jangan sesekali pinggirkan pemain-pemain yang membantu Malaysia ketika aksi kelayakan tempoh hari. Ini bukan soal jasa, tetapi untuk bersedia menjadi yang terbaik sebelum sepak mula. Jika masih berhasrat untuk bermain di Piala Asia, apa lagi tingkatkanlah prestasi masing-masing.
Di sinilah peranan pembantu beliau, E. Elavarasan untuk menyalur maklumat cukup efektif berhubung ciri-ciri pemain yang menepati corak taktikal Pan-gon.
Penyokong enggan lagi mendengar alasan kekangan masa yang singkat menjadi punca sukar untuk mengumpul pemain terbaik pada kejohanan itu, tambahan pula Piala Asia cuma akan berlangsung dalam tempoh setahun. Takkanlah tak cukup masa lagi?
Malah, teguran secara terbuka Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang cukup hairan mengapa penyerang naturalisasi Johor Darul Takzim (JDT), Guilherme De Paula turut dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya ketika kempen kelayakan sebelum ini juga wajar dihadam sebaik mungkin oleh Pan-gon ketika membuat senarai panggilan pemain kali ini.
Jangan sampai asalkan pemain JDT, masih boleh beraksi bersama Harimau Malaya di pentas Piala Asia walhal satu Malaysia tahu macam mana 'ke lautnya' prestasi semasa De Paula.
Ramai yang mempertikaikan kehadiran De Paula dalam skuad Harimau Malaya ketika kempen kelayakan Piala Asia tempoh hari. — FAM
Jadi, Pan-gon harus lebih berani memberikan peluang kepada pemain lain yang lebih menyinar dalam tempoh setahun ini berbanding De Paula dan lain-lain seperti mana pepatah bola sepak Inggeris, 'coach is king, the other means nothing.'
Limitkan sekadar lima pemain dari satu-satu kelab juga antara cadangan terbaik penyokong ketika membuat senarai call-up kali ini. Suka atau tidak, tidak timbul soal chemistry sebenarnya, lagi-lagi jika sekadar memanaskan bangku simpanan di kelab masing-masing.
Satu lagi faktor yang wajar diambil kira Pan-gon adalah tahap disiplin seseorang pemain. Roberto Mancini sudah membuktikan segala-galanya apabila mengetepikan pemain bermasalah seperti Mario Balotelli.
Maaf cakap, pemain kurang berdisiplin dengan penuh sentimen kontroversi luar padang ini selayaknya digugurkan terus daripada menyarung jersi Harimau Malaya. Jika disiplin pun dipandang remeh, apatah lagi soal lain termasuk menjaga tahap kecergasan dan sebagainya?
Pada masa sama, jangan pandang sebelah mata prospek muda yang berpotensi untuk diserap masuk dalam skuad senior. Apa salahnya meletakkan Luqman Hakim Shamsuddin mahupun Hadi Fayyadh jika mereka mampu meletuskan impak yang lebih besar berbanding Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh?
Selain itu, nama-nama pemain muda seperti Aysar Hadi dan Najmudin Akmal juga mungkin masih terlalu 'hijau' buat masa ini, namun siapa tahu mereka berada dalam prestasi terbaik menjelang kempen Piala Asia nanti.
'Dari Korea Untuk Malaysia', sememangnya begitu tinggi menggunung harapan Ultras dan peminat Harimau Malaya supaya magis dimiliki Pan-gon kekal bergemerlapan di pentas Piala Asia. Menang kalah belakang kira, pilih dulu pemain yang betul-betul layak yang paling utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram