Bukan taktikal, tapi percaturan teknikal Aidil Sharin pacu kemenangan Kedah


  • Podium
  • Rabu, 20 Jul 2022

Pemain Kedah dikatakan bijak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka kali ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PENANTIAN penyokong bola sepak pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengharapkan kemenangan dalam saingan Liga Super berakhir apabila Skuad Kenari berjaya menundukkan Sarawak United 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Selasa.

Kemenangan tersebut secara tidak langsung menamatkan badi kemenangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang sebelum ini terpaksa akur tanpa kemenangan dalam aksi Liga Super sebanyak empat kali berturut-turut.

Pemerhati Sukan, Don K-Rul IZham memuji taktik pertukaran lima permain dalam barisan utama seperti Loqman Hakim, Heshamudin Ahmad, Fayadh Zulkifli, Al Hafiz Harun dan Khairu Azrin yang digunakan Aidil dalam memastikan pasukannya dapat terus menguasai permainan.

Menurutnya, pertukaran tersebut bukanlah pertukaran taktikal, namun lebih kepada pertukaran teknikal yang bertujuan untuk mengantikan pemain yang cedera, keletihan, kurang intensiti atau kurang menyerlah.

"Pertukaran pemain yang dilakukan Aidil adalah untuk mempercepatkan posisi berkaitan diisi. Kemudian, berkemungkinan juga supaya pemain lebih cergas dan bersedia untuk main.

"Acuannya masih sama, cuma dari aspek fresh leg (pemain yang belum keletihan) itu membantu pasukan. Kedah masih bergelut bermain sebagai satu pasukan terutama dalam aspek transisi sama ada hendak menyerang atau bertahan," katanya di laman Facebook.

Strategi pertukaran pemain Aidil Shahrin membuahkan hasil apabila berjaya berakhir dengan kemenangan.Facebook/ Kedah Darul Aman FC

Tambah Izham, pasukan Kedah beruntung kerana dibarisi pemain yang memiliki kepakaran individu seperti dua pemain import mereka, Mahmoud Al Mardi dan Sanrawat Dechtmir.

"Mahmoud merupakan pemain sayap yang ada teknik dan memahami tuntutan taktikal. Dia pemain yang bekerja keras, rajin turun mengutip bola dan gemar bertarung secara satu lawan satu.

"Sanrawat pula bijak mencari ruang untuk mencipta hantaran. Walaupun kita hanya lawan Sarawak United tapi keupayaan dia untuk berada di setiap kedudukan bola itu wajar dipuji.

" Untuk Fayadh, walaupun pergerakannya mungkin boleh dijangka tapi dia memiliki kelebihan membawa bola dalam keadaan pantas. Ini sedikit sebanyak menyukarkan pemain lawan untuk mengawal dia.

"Bagi Ronald Ngah Wanja, aku nak ucapkan tahniah juga sebab berjaya menjaringkan gol ke-10 musim ini dan lapan gol dalam Liga Super. Aksi dia sebagai penyerang masih perlu lebih tajam dan kemas.

"Harapan kita, dia akan terus konsisten menjaringkan gol sebab Kedah sudah tidak memiliki penyerang lain yang setanding dia untuk musim ini," katanya.

Kemenangan kelima yang dilakarkan itu meletakkan Kedah kini berada di tangga keempat dengan 17 mata manakala Sarawak United pula di tangga ke-10 selepas mengumpul 10 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram