Endrick cuti rehat, 3 spekulasi selubungi Penang FC sebelum bertemu JDT


  • Podium
  • Selasa, 19 Jul 2022

Aksi Endrick sebelum ini begitu hambar dan mendapat kritikan penyokong Penang FC. — Penang FC

BERANG. Mungkin itu perasaan yang kini menyelubungi penyokong pasukan Penang FC selepas kapten dan pemain import pasukan itu, Endrick dos Santos direhatkan sehingga 31 Julai depan.

Kelab tersebut dalam satu kenyataan pada Isnin mengatakan bahawa, tiada arahan atau hukuman penggantungan pemain dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

Sebaliknya, Endrick hanya diminta mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai depan.

Memang benar, prestasi hambar Endrick menjadi pertikaian dalam kalangan penyokong sebelum ini. Tetapi, bulan ini menyaksikan pasukan itu berdepan dengan dua perlawanan penting.

Pada Rabu menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan akan menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan tiga hari selepas itu, bertemu Sri Pahang untuk saingan suku akhir Piala FA.

Semestinya menerusi dua perlawanan ini, khidmat pemain import ditagih untuk memberi kesan positif dalam pasukan.

Itu yang membuatkan penyokong Penang FC mempertikai mengapa Endrick direhatkan. Berikut adalah tiga spekulasi Penang FC sebelum bertemu JDT.

1563790

Prestasi hambar Endrick mendapat respon negatif penyokong. — Facebook/Penang FC

Apa status sebenar Endrick?

Sebelum ini kecoh selepas tonggak utama Melaka United, Ifedayo Olesegun tidak diturunkan ketika bertemu dengan JDT.

Alasan yang diberikan adalah kerana Ifedayo mengalami kecederaan hamstring ketika menjalani latihan pasukan.

Namun, tiga hari selepas maklumkan itu dikeluarkan, Ifedayo tampil beraksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol ketika menentang Selangor FC.

Seolah dejavu, perkara sama juga berlaku kepada Penang FC sehingga dalam dalam kalangan penyokong yang meminta supaya status Endrick diperjelaskan.

"Beritahu sahajalah pemain (Endrick) pinjaman dan perjanjian seperti biasa. Direct lagi senang. Ini macam-macam alasan, nampak kelakar pulak. Orang semua dah tahu. Apa nak malu sangat guna barang pinjam," kata Mohd Syazril Arshad.

Turut mempertikaikan status Endrick adalah Hisyammudin Kasmat yang bertanya mengenai pemain itu mempunyai kontrak dengan JDT atau pinjaman dari kelab tersebut.

"Dipinjamkan ke Penang FC dengan bersyarat atau macam mana? Atau kontrak dengan Penang, tapi JDT bayar gaji dengan bersyarat?" soalnya.

Endrick-Dos-Santos

Endrick pernah direhatkan lama ketika bersama Selangor FC ekoran penyakit misteri. — Agensi

Penyakit misteri Endrick muncul kembali

Untuk rekod, kehilangan Endrick sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Sebaliknya, pemain itu pernah berehat panjang ketika beraksi bersama pasukan lamanya, Selangor FC.

Mengimbas semula pada 2019, Endrick didakwa mengalami penyakit misteri apabila dia tidak dapat beraksi bersama Selangor FC dalam tempoh masa agak lama hingga terlepas tujuh perlawanan.

Kini, penyakit misteri itu nampaknya kembali sehinggakan Penang FC terpaksa merehatkan Endrick.

"Endrick memang selalu ada sakit misteri sejak dengan Selangor FC dulu," kata Faizal Jalil.

Turut setuju dengan kenyataan itu adalah Ant Zamee Al Malizi yang berkata, Endrick hilang ketika dia sedang beraksi baik bersama Selangor FC.

"Orang Penang takkan tak sedar dari dulu. Main punya power dekat Selangor FC, tiba-tiba hilang," katanya.

FOTO MFL

Endrick sebagai kapten pasukan Penang FC perlu bermain mati-matian untuk pasukan. — Facebook/MFL

Endrick perlu main bermati-matian

Dalam pada itu, ada juga yang mempertikaikan bahawa Endrick selaku pemain import perlu diturunkan memandangkan pasukan berbelanja banyak untuk mendapatkan khidmatnya.

Apatah lagi ketika waktu terdesak, memang Penang FC perlu khidmatnya apatah lagi dia merupakan kapten pasukan.

"Dia itu kapten dan kalau prestasi merosot kena kerahkan lagi, tekan untuk kembalikan prestasi yang sebenar.

"Kalah hari itu sama-sama dan harap bangkitlah bersama-sama. Dia dibayar maka jika asbab merosot terus dibagi cuti ibarat tak adil kepada pemain lain yang akan tanggung tekanan perlawanan akan datang," kata Azhar Nordin.

Nasi Ayam pula berkata, Penang FC sepatutnya bertegas dengan Endrick dan meminta pemain itu bermain mati-matian sehingga habis musim.

"Tegas sikit dengan dia. Gaji dibayar untuk bermain. Bukan untuk bercuti. Jika Penang FC takut untuk berdepan dengan dia, kami sebagai penyokong boleh bercakap dengan dia. Dia tak layak sarung jersi kebanggaan kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram