MALAYSIA Football League (MFL) masih berteka-teki mengenai status aksi saingan Liga Super yang dikhabarkan akan memiliki 18 buah pasukan bertanding dalam satu musim mulai tahun 2023.
MFL selaku penganjur Liga Malaysia difahamkan akan membuat satu pengumuman rasmi mengenai masa depan Liga Malaysia (Liga M), Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dalam peringkat untuk dimuktamadkan.
"Pihak MFL berharap satu keputusan akan dapat dapat dibuat dalam masa terdekat.
"Sebaik diumumkan, kami akan kongsikan butiran lanjut mengenai perkara ini," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard dipetik berkata, status 18 pasukan Liga Super itu masih belum disahkan secara rasmi.
"Secara peribadi, dengan penambahan minit permainan, ia secara tidak langsung adalah perkara yang positif bagi memastikan pemain kekal aktif dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti bola sepak negara," katanya.
Stuart berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dalam peringkat untuk dimuktamadkan. — Bernama
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O'Donnell turut berasakan ia perkara yang baik untuk direalisasikan.
"Lebih banyak adalah lebih baik. Apa yang kami tidak mahu adalah pasukan bawahan menjadi pasukan belasahan. Ia akan mengambil masa untuk setiap pasukan meningkatkan kualiti permainan," katanya.
Perubahan dari segi bilangan pasukan yang bertanding itu akan menyaksikan mereka bakal menerima lebih banyak perlawanan liga dalam satu musim.
Ketika ini dengan hanya 12 pasukan bersaing, setiap pasukan hanya akan mempunyai 22 perlawanan liga semusim, dan mulai tahun 2023 nanti, setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan liga.
Selain itu, difahamkan, aksi Liga Premier juga ‘dihilangkan’ buat sementara waktu mulai tahun 2023.
Pada masa sama, dua lagi liga akan diadakan mulai tahun 2023 adalah Liga Simpanan dan juga Liga B17 yang mana saingan kedua-dua liga itu akan memiliki 18 pasukan bertanding.
Liga Super diperkenalkan pada 2004 dan merupakan kesinambungan kepada saingan Liga M yang diperkenalkan pada 1982. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram