PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah enggan cepat melatah sebaliknya sedia memberikan masa kepada penyerang import dari Croatia, Stipe Plazibat untuk menjumpai sentuhan jaringannya.
Beliau berkata, Plazibat masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan diterapkan The Bos Gaurus dan melalui pengamatannya, bekas pemain kelab Lion City Sailors FC yang merupakan penjaring terbanyak Liga Singapura bagi musim 2020 itu mampu menjelmakan impak positif kepada pasukan.
"Apabila seorang penyerang yang dibeli oleh kelab baharu, dia sendiri pun bagi saya cuba membantu pasukan dengan sebaik mungkin. Itu saya pasti, cumanya setakat ini Plazibat masih belum menjaringkan gol.
"Saya akui peminat tidak boleh tunggu cumanya di sini yang perlu diberikan keutamaan adalah kemenangan, bukannya bercakap tentang bagus atau pun tidak pemain import yang kita pilih," katanya.
Dalam aksi Liga Premier 2022 yang berlangsung di Stadium Perak, Plazibat yang diturunkan pada babak kedua permainan gagal membantu Perak FC menoktahkan kemenangan apabila sekadar seri 0-0 berdepan Terengganu FC II.
Aksi pemain Perak FC ketika menentang TFC II pada Sabtu. — Bernama
Penampilan Plazibat pada perlawanan itu adalah aksinya yang ketiga setelah mengikat kontrak bersama Perak FC pada 23 Jun lepas.
Berikutan keputusan itu, Perak FC yang telah mengharungi 12 perlawanan sekadar menduduki tangga ke sembilan dengan satu mata manakala Terengganu FC II kekal di tangga teratas liga setelah mengutip 23 mata.
Mengulas aksi The Bos Gaurus dalam mengharungi pusingan kedua saingan liga, jurulatih berasal dari Perlis itu berpuas hati namun mengharapkan setiap pemain berusaha lebih keras bagi memastikan kemenangan dapat dihasilkan dalam baki enam perlawanan selepas ini.
Sementara itu, jurulatih Terengganu FC II Badrul Afzan Razali mengakui kehilangan penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah yang dipinjamkan ke KL City FC sedikit sebanyak mempengaruhi persembahan pasukannya dalam mengharungi pusingan kedua liga.
Beliau berkata walaupun ia memberi ruang kepada pemain muda untuk mendapat minit permainan dengan lebih banyak, skuad pelapis Sang Penyu itu berdepan masalah ketumpulan di barisan serangan.
"Ini satu cabaran, namun saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan.
Kita akan berusaha lebih keras untuk memastikan kedudukan sebagai pendahulu akan terus dikekalkan sehingga tamat liga," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram