Penambahan kuota import cetus impak negatif pada Liga-M — Lim Teong Kim


  • Podium
  • Ahad, 17 Jul 2022

Format pertandingan bagi saingan Liga-M dijangka antara perubahan drastik yang akan dilakukan oleh MFL bermula musim depan. — Agensi

JUMLAH pemain import dan format pertandingan bagi saingan Liga Malaysia dijangka antara perubahan drastik yang akan dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) bermula musim depan.

Buat masa ini, semua perubahan itu masih lagi di peringkat perbincangan, namun implementasi segera bermula musim 2023 dijangka akan dilakukan oleh badan penganjur untuk saingan tertinggi bola sepak domestik di negara ini.

Perubahan drastik yang bakal dilakukan MFL ialah untuk mengubah saingan Liga Premier kepada pertandingan Bawah 23 Tahun (B-23) yang akan digelar Liga Simpanan dan ini bermakna, jumlah saingan Liga Malaysia akan menyaksikan penambahan pasukan bertanding di divisyen utama bola sepak negara untuk musim 2023.

Selain daripada perubahan format liga, turut akan mengalami perubahan adalah jumlah tenaga import yang akan digunakan mulai musim hadapan dan perubahan terbaru akan membenarkan pengambilan sehingga enam pemain import oleh setiap pasukan, dengan format 5+1.

Perubahan terbaru ini adalah antara usaha MFL untuk menyelaraskan peraturan pengambilan import untuk seiring dengan peraturan terbaru oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

KUALA LUMPUR, 27 Sept -- Jurulatih skuad Bawah 16 (B-16) Kebangsaan Lim Teong Kim memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Jepun pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.Malaysia tewas 0-2.--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Teong Kim mengatakan penambahan kuota import akan memberi satu kesan negatif yang besar untuk perkembangan pemain-pemain tempatan. Bernama

Mengulas perkembangan itu, bekas Pengarah NFDP, Lim Teong Kim berkata, jika MFL benar ingin menambah kuota pemain import kepada enam pemain musim depan, ia akan memberi satu kesan negatif yang besar untuk perkembangan barisan pemain tempatan.

"Jika penambahan kuota import itu berlaku, secara umum bola sepak Malaysia akan memberi kesan yang negatif dan mungkin dalam 10 tahun akan datang kita akan dapat lihat kesan daripada penambahan kuota tersebut.

"Kuota import ini bagus hanya untuk kelab bagi bersaing dalam kejohanan AFC seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC, tetapi untuk liga perkara ini tidak sihat untuk pemain tempatan.

"Ini kerana, Liga M dibina untuk memberi peluang kepada pemain tempatan, tetapi jika semua pemain import yang akan mengisi kesebelasan utama, bagaimana nasib pemain tempatan lebih-lebih lagi pemain muda untuk develop," katanya pada Majoriti.

Tambahnya lagi, MFL perlu melihat kesan buruk kepada liga-liga Eropah yang sudah lama menggunakan kuota import tiada had seperti Itali, Jerman dan England, bukan hanya semata-mata untuk menaikkan nilai komersial Liga M.

"Bekas pemain Itali, Giorgio Chiellini sendiri berkata kepada media bahawa pasukan kebangsaan Itali sedang merosot kerana banyak kelab-kelab di sana lebih gemar menggunakan pemain import berbanding pemain tempatan.

"Di England, pasukan kebangsaan mereka sedikit struggle di kejohanan antarabangsa kerana kelab-kelab di dalam liga mereka banyak menggunakan pemain luar negara," ujarnya.

41_2022-637850529836951796-695

Kelab-kelab Jerman juga cenderung menggunakan khidmat pemain import yang seakan-akan menutup potensi pemain muda. Agensi

Menurutnya lagi, jika MFL ingin melakukan penambahan kuota import itu boleh dengan syarat mereka harus mewujudkan platform liga untuk pemain-pemain muda supaya di masa akan datang pasukan kebangsaan tidak kehilangan bakat-bakat muda.

"MFL boleh menambah kouta import tetapi untuk jangka masa pendek dan bukan untuk selama-lamanya, pihak penganjur juga harus segera menyediakan platform seperti liga bawah umur untuk pemain-pemain muda terus berkembang.

"Di Jerman sekarang, Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) bimbang dengan prestasi pemain-pemain muda tempatan mereka kerana banyak kelab dalam liga utama Jerman lebih gemar mengimport pemain luar.

"Kenapa MFL perlu wujdukan liga sedemikian untuk pemain-pemain muda? Ini kerana jika satu masa nanti MFL hendak menghentikan kuota import, kita masih mempunyai bakat-bakat baharu dalam liga tempatan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MFL, Kuota Import, AFC, Perubahan, Lim Teong Kim