Padah puji skuad B-19, Syed Saddiq kena hentam, ramai ungkit keputusan pecat Teong Kim


  • Podium
  • Ahad, 17 Jul 2022

Syed Saddiq (kiri) dikritik warganet selepas memuji aksi cemerlang skuad bola sepak B-19 negara.

SKUAD bola sepak bawah 19 (B-19) negara baru-baru ini membuat kejutan apabila merangkul kejuaraan AFF B-19 selepas menerwaskan Laos 2-0 dalam perlawanan di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia pada Jumaat.

Ramai yang tidak menyangka kemenangan tersebut apatah lagi sebelum itu skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu tewas 0-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A.

Kejayaan bergelar juara itu mendapat pujian ramai pihak termasuklah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

293621270_739951580411414_8185795733865604291_n

Barisan pemain skuad bola sepak B-19 negara bergambar selepas bergelar juara Piala AFF B-19. — Facebook/FAM

Namun, pujian Syed Saddiq itu mendapat kritikan warganet ekoran tindakan yang diambilnya sewaktu bergelar Menteri Belia dan Sukan pada 2019.

"Awak mana percaya dengan program pembangunan bola sepak remaja. Ini anak didik Lim Teong Kim dari umur mereka 13 tahun hingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Akademi Mokhtar Dahari (AMD)," kata Mohamad Nizam Zakaria.

Terkesan dengan kritikan itu, Syed Saddiq kemudian membalas dan memberitahu yang dia sebelum itu bertanggungjawab menaikkan dana Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) lebih tiga kali ganda.

"Saya siap berjaya runding dengan kerajaan untuk peruntukkan dana khas untuk NFDP melalui sugar tax.

"Sebelum ini, dana dari kerajaan tidak menentu. Sekejap RM5 juta, sekejap RM3.5 juta. Susah untuk merancang bagi jangka masa panjang," katanya.

WhatsApp Image 2022-07-17 at 10.34.11 AM

Tangkap layar komen melibatkan seorang warganet dan Syed Saddiq. — Facebook

Beberapa warganet kemudian terus mempertikaikan Syed Saddiq kerana dia juga individu yang bertanggungjawab menamatkan kontrak jurulatih, Teong Kim pada masa itu.

"Habis kenapa YB tamatkan kontrak Teong Kim pada masa itu? Pemain muda perlukan masa. Bukannya mi segera dua minit untuk berjaya," kata Mohd Rizalman Johari.

"Permata depan mata, kaca juga yang YB pilih. Memang silap besar pecat Teong Kim," kata Khaz Zahh.

Untuk rekod, Teong Kim sebelum ini merupakan Pengarah Teknikal AMD dan terlibat dengan NFDP sejak 2013.

553 (12)

Lim Teong Kim sebelum ini merupakan Pengarah Teknikal AMD dan terlibat dengan NFDP sejak 2013. — Agensi

Bekas jurulatih Akademi Remaja Bayern Munich itu pula ke tanah air pada 2013 untuk berkongsi pengetahuannya di AMD selepas 12 tahun merantau.

Namun pada 2019, dia terpaksa berundur dan berangkat pulang ke Munich, Jerman selepas kontraknya yang tamat tahun tersebut tidak disambung.

Ketika itu, pengikut bola sepak tempatan juga menyatakan rasa tidak setuju selepas kontrak Teong Kim tidak diteruskan sehingga wujud tanda pagar 'SaveLTK' di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram