Tak puas hati tewas di final, penyokong Laos tuduh kapten skuad B-19 negara lebih had umur


  • Podium
  • Ahad, 17 Jul 2022

Prospek negara, Aysar Hadi (dua kanan) dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejuaraan B-19 AFF di Jakarta. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) negara di bawah bimbingan ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras berjaya mencipta kejuaraan selepas menjinakkan Laos 2-0 dalam final Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Indonesia pada Jumaat.

Kali terakhir pasukan Malaysia memenangi kejuaraan itu pada 2018 yang mana pada ketika itu skuad Harimau Muda menewaskan Myanmar 4-3 yang turut berlangsung di Indonesia.

Malah, kejayaan menewaskan Laos itu sekali gus melunaskan dendam kekalahan 0-1 kepada lawan sama pada aksi terakhir Kumpulan B, Isnin lepas.

Pada aksi itu juga, pemain muda negara yang juga merupakan kapten Harimau Muda, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri meraih Anugerah Pemain Terbaik Kejohanan B-19 AFF di atas kecemerlangannya sepanjang edisi kejohanan itu.

isi

Skuad Bawah B-19 kebangsaan berjaya mencipta kejuaraan selepas menjinakkan Laos 2-0 dalam Kejohanan B-19 AFF 2022 di Indonesia. — Facebook FAM.

Cuma yang tak seronoknya di sebalik kejayaan yang diperoleh skuad Harimau Muda dan Ahmad Aysar, ada segelintir penyokong Laos tidak berpuas hati dan mempersoalkan usia pemain Johor Darul Takzim (JDT II) itu memandangkan wajahnya yang nampak matang daripada usia.

Melalui satu hantaran di Facebook Komuniti Bola Sepak Malaysia (Official), Wan Putera Rizman berkongsi status mengatakan ada penyokong Laos mendakwa pemain Malaysia menipu umur.

"Semasa menang dulu di peringkat kumpulan tiada pula bising. Ini dah kalah dengan Malaysia di peringkat final, melalut pula di media sosial," tulis status itu.

Dia memuat naik semula satu status tulisan Happy World yang mempersenda muka kapten Harimau Muda itu kerana mukanya yang agak matang berbeza dengan wajah para pemain lain pada kejohanan berkenaan.

Rentetan dakwaan dari laman Facebook itu, ramai penyokong Harimau Muda termasuk pasukan JDT meluahkan rasa tidak puas hati dan tampil membela Aysar Hadi.

Hasil semakan Majoriti di laman Transfermarket, dakwaan mengenai tipu umur dari penyokong Laos itu sememangnya tuduhan palsu terhadap Aysar Hadi kerana laman sesawang itu menunjukkan dia baru berusia 19 tahun.

Aysar Hadi juga merupakan seorang anak jati Johor yang berasal dari Kulai dan merupakan produk kelahiran Akademi JDT II bersama beberapa pemain lain termasuk Zulhilmi Sharani, Danial Hakim Deraman dan Adam Farhan Mohd Faizal.

Sementara itu, Aysar Hadi itu menegaskan anugerah terbabit akan membakar semangatnya dalam usaha membina nama dalam pentas bola sepak di Malaysia dan juga rantau ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram